Covid-19: Indonesia catat kes harian ketiga tertinggi di dunia

Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) atau ‘lockdown’ dilaksanakan dalam usaha untuk mencegah penularan wabak Covid-19 yang melibatkan varian Delta, diperluaskan ke puluhan bandar di Pulau Sumatera di barat Indonesia hingga ke pulau paling timur di Papua.

Merujuk kepada laporan dari Worldometers.info, Indonesia diletakkan sebagai negara ketiga tertinggi yang mencatatkan jangkitan Covid-19 iaitu 31,189 kes, dengan Brazil kekal negara pertama sebanyak 62,505 kes dan diikuti India (43,957 kes).

Sehubungan itu pemerintah Republik Indonesia turut memberi amaran bahawa keadaan jangkitan Covid-19 dan jumlah kematian harian akan terus meningkat.

Susulan itu sempadan penguatkuasaan PPKM Darurat diperluaskan lagi bagi mengekang penularan meluas varian Delta, yang kini pantas merebak di beberapa negara Asia Tenggara.

Menteri Kanan Indonesia, Airlangga Hartarto berkata selain penguatkuasan itu pemerintah juga menumpukan perhatian kepada penyediaan dan persiapan di hospital.

Pihak hospital di republik itu dilapor mengalami tekanan apabila banyak pesakit yang dijangkiti Covid-19 mula memenuhi fasiliti penjagaan kesihatan di negara itu.

Sebelum ini, pihak berkuasa Republik ini turut memberi amaran bahawa Indonesia akan menjadi negara di Asia Tenggara yang paling teruk dilanda Covid-19 kerana kes boleh meningkat kepada 50,000 sehari.

Semalam, pemerintah republik Indonesia melaporkan sudah membuat persediaan bagi berdepan senario terburuk ini susulan jangkaan bahawa virus Covid-19 boleh menjangkiti sehingga 40,000 orang rakyatnya sehari.

Menteri Penyelaras PPKM Darurat, Luhut Pandjaitan mengesahkan hal tersebut dan memaklumkan bahawa pihaknya turut melakukan persediaan dengan meminta bantuan negara luar, seperti China dan Singapura.

Memetik laporan Channel NewsAsia, Luhut turut memaklumkan telah membuat persediaan dari segi perubatan, bekalan oksigen dan kemampuan hospital bagi mengendalikan pesakit Covid-19.

Hari ini Indonesia mencatatkan lonjakan kes tertinggi harian sebanyak 34,379 kes dan kes kematian yang tertinggi sepanjang wabak itu melanda Republik itu pada Mac tahun lalu iaitu sebanyak 1,040 kes.

Jumlah keseluruhan kes di republik itu telah meningkat ke 2,379,397 kes, manakala sebanyak 62,908 kematian dicatatkan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR