Covid-19: Indonesia catat 26,121 kes baharu, 82 kematian

Jumlah individu yang disahkan positif Covid-19 di Indonesia turun kepada 26,121 semalam, berbanding 36,057 sehari sebelumnya, lapor Pasukan Petugas Covid-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, walaupun jumlah kes positif disahkan menurun, jumlah kematian meningkat kepada 82 kes, tertinggi dicatatkan sejak 4 Oktober 2021, apabila jumlah kematian direkodkan sebanyak 88 pesakit.

Jakarta melaporkan kematian harian tertinggi iaitu 38 kes, diikuti Jawa Tengah (10) dan Bali (sembilan). Secara kumulatif, jumlah kematian sejak wabak itu bermula di Indonesia mencapai 144,636, kata pasukan petugas itu.

Pada masa sama, Jakarta juga mencatatkan kes harian terbanyak iaitu 12,682 kes, diikuti Jawa Barat (5,047), Banten (3,194), Jawa Timur (1,339), dan Bali (1,172). Kumulatif kes positif ysejak Mac 2020 hingga semalam mencecah 4,542,601.

Sementara itu, seramai 8,577 pesakit telah sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 4,191,604. Jakarta melaporkan pemulihan paling banyak iaitu 4,581, diikuti Jawa Timur (1,310), Banten (1,263), dan Jawa Barat (620).

Bilangan spesimen yang diperiksa di makmal mencecah 285,789 dan daripada jumlah itu, 10,234 kes yang disyaki dijangkiti Covid-19 telah dikenal pasti, kata pasukan petugas itu.

Jumlah kes aktif di Indonesia sehingga semalam adalah sebanyak 206,361 kes.

Menurut Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin, jumlah kes Omicron di tiga wilayah – Jakarta, Banten, dan Bali – melebihi jumlah jangkitan yang direkodkan ketika gelombang Delta pada Jun hingga Ogos 20221.

“Kita sahkan kini terdapat tiga wilayah di mana jumlah kes Omicron telah melebihi jumlah kes yang dicatatkan gelombang Delta, iaitu Jakarta dengan jumlah kes mencecah 15,800, sedangkan kemuncak sebelumnya hanya 14,600,” katanya.

Kedua wilayah Banten yang melaporkan 14,800 kes, walaupun ketika 2021 kes tertinggi melibatkan varian Delta adalah 13,900; dan ketiga Bali, di mana jumlah kes telah mencapai 2,000 (1,900 kes ketika gelombang Delta).

Sementara itu, Jakarta Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang, Bekasi dan Bali dikenakan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Tahap 3 (PPKM Tahap 3) mulai semalam, susulan peningkatan jangkitan Covid-19. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR