Covid-19: Hospital Hong Kong penuh

Hong Kong berdepan cabaran paling sengit dalam menangani pandemik Covid-19 apabila jangkitan harian kini mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua tahun, dengan angka kematian meningkat, dan hospital serta kemudahan pengasingan dipenuhi dengan kekurangan kakitangan.

Pihak berkuasa kesihatan semalam berkata terdapat lebih 6,100 kes baharu, di mana hanya sembilan diimport, dan 6,300 lagi direkodkan sebagai positif awal. Virus itu turut menjejaskan 19 rumah warga emas di bandar itu.

Pada masa sama, penduduk China di Hong Kong berlumba-lumba kembali ke tanah besar untuk melarikan diri daripada penularan wabak Covid-19 yang semakin teruk di hab kewangan itu.

Pada hari Jumaat (18 Februari 2022), ratusan orang beratur di pusat pemeriksaan sempadan antara Hong Kong dan Shenzhen, untuk memasuki tanah besar.

Wilayah itu setakat ini telah merekodkan 16,600 kes Covid-19 dari awal Januari hingga Rabu (16 Februari 2022). Manakala, sejak awal pandemik, Hong Kong mencatat kumulatif positif sebanyak 37,000 kes, dengan lebih 240 kematian.

“Dengan kata lain, jumlah kes dalam gelombang kelima telah melepasi jumlah keseluruhan 2020 dan 2021,” kata Setiausaha Bahagian Makanan dan Kesihatan Dr Chui Tak Yi.

Menurutnya protokol sekarang adalah menerima pesakit berisiko tinggi dan menghantar mereka yang mempunyai gejala ringan ke kemudahan pengasingan komuniti kerana katil hospital sudah penuh.

Dalam usaha meredakan keadaan, Dr Chui berkata tempoh kuarantin di fasiliti pengasingan akan dipendekkan.

Mulai semalam, penduduk yang memperoleh ujian negatif tujuh hari pertama selepas disahkan positif akan dibenarkan keluar dari kemudahan tersebut. Mereka kemudiannya perlu mengasingkan diri di rumah selama tujuh hari lagi dan mesti diuji negatif pada hari ke-14 sebelum dibenarkan keluar.

Tetapi hanya mereka yang tidak tinggal bersama warga emas, wanita hamil atau pesakit kronik akan dibenarkan pulang, kata Dr Chui.

Pesakit yang berada di rumah menunggu untuk dimasukkan ke hospital bebas meninggalkan premis jika ujian negatif selepas 14 hari. Pada masa ini, hampir 7,000 pesakit sedang menjalani pengasingan di rumah.

Lebih 2,800 pesakit berada di hospital dan kemudahan rawatan awam, manakala 2,100 individu berada di kemudahan pengasingan komuniti Penny’s Bay.

Dr Sara Ho dari Pihak Berkuasa Hospital berkata hospital awam beroperasi pada lebih 90 peratus kapasiti dan kemudahan kuarantin penuh.

Lebih daripada sedozen individu dalam kritikal, manakala lebih daripada 60 kes dalam keadaan serius, tambahnya.

“Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kami mempunyai banyak kes kecemasan di mana kami terpaksa menempatkan pesakit di dalam khemah. Untuk situasi ini, kakitangan perubatan kami sangat tidak berpuas hati.

“Kami bimbang tentang penjagaan pesakit kami, terutamanya hari ini, terdapat sedikit hujan dan cuaca dalam beberapa hari akan datang juga akan menjadi sejuk, jadi kami memikirkan kaedah berbeza untuk menampung kemasukan lebih awal,” kata Dr Ho.

Beliau juga menyatakan bahawa beberapa rumah jagaan telah menolak kemasukan warga emas yang dibenarkan keluar dari hospital awam.

Kekurangan kakitangan hospital, kemudahan kuarantin dan anggota bomba, yang terikat untuk membawa pesakit ke pusat pengasingan, telah menambah kesukaran dalam menangani gelombang kelima itu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR