Covid-19: Hari pertama 2022 Australia rekod kes harian tertinggi

Australia memulakan hari pertama 2022 dengan mencatat rekod baharu jangkitan apabila lebih 30,000 kes dilaporkan hanya di dua negeri, New South Wales dan Victoria, hari ini, menurut data rasmi kerajaan.

Ketika New South Wales – negeri paling ramai penduduk di Australia – membatalkan peraturan kuarantin kepada kakitangan kesihatannya setelah jumlah kemasukan ke hospital meningkat, negeri itu merekodkan 22,577 jangkitan baharu.

Sementara penularan Covid-19 semakin meluas di negeri dan wilayah di timur negara itu, Victoria pula mencatat 7,442 kes baharu Covid-19, hari ini, menurut data Jabatan Kesihatan Negeri.

Dalam tempoh sama, sembilan kematian akibat komplikasi Covid-19 dilaporkan di Victoria, dan empat di New South Wales, menjadikan keseluruhan kematian di Australia akibat virus berkenaan sebanyak 2,250 kes.

Memasukkan kes di Queensland, Tasmania dan Wilayah Ibu Kota Australia, Australia mencatatkan rekod kebangsaan sebanyak 33,161 kes, mengatasi sejumlah 32,946 kes pada Jumaat, walaupun jumlah kes dari Australia Selatan, Australia Barat dan Wilayah Utara belum dikeluarkan.

Semua negeri Australia, kecuali Australia Barat, telah mula hidup dengan virus itu selepas tahap vaksinasi yang lebih tinggi, dan kelonggaran sekatan mendorong kes melonjak tinggi.

Kerajaan New South Wales mengubah peraturan kuarantin kendiri untuk kakitangan kesihatan tanpa gejala yang telah diklasifikasikan sebagai kontak rapat kes Covid-19, namun memberi mereka pengecualian jika dianggap kritikal ketika di tempat kerja mereka. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR