Covid-19 di Russia memuncak, hampir sejuta kes aktif

Russia merekodkan satu lagi angka kematian harian tertinggi akibat Covid-19 hari ini apabila 1,178 pesakit meninggal dunia, menjadikan kumulatif sejak tahun lalu meningkat kepada 240,871 kes.

Dalam tempoh sama, jumlah jangkitan harian turut meningkat kepada 39,008 kes menjadikan keseluruhannya lebih 8.59 juta kes.

Pihak berkuasa Russia juga memaklumkan kes aktif Covid-19 kini menghampiri satu juta, kata pasukan petugas kecemasan Covid-19 Russia sambil menjelaskan angka tepat kes aktif ialah 939,698.

Setakat ini seramai 7.41 juta pesakit Covid-19 telah sembuh, kata laporan itu.

Tiga kes varian “mu” dan satu kes “lambda” dikenal pasti di Russia, kata pihak berkuasa.

Presiden Vladimir Putin menyifatkan situasi Covid-19 di negara itu sebagai ‘sangat sukar’ dan berkata jumlah kes aktif adalah yang tertinggi sejak permulaan wabak itu.

Wilayah Nizhegorodskaya Oblast barat Russia melanjutkan tempoh tidak bekerja hingga 14 November untuk mengatasi lonjakan kes.

Mulai 28 Oktober, Russia menetapkan tempoh tidak bekerja 10 hari bertujuan membendung penularan virus itu.

Sejak Disember 2019, wabak itu telah meragut lebih 5 juta nyawa di 192 negara dan wilayah, dengan lebih 247 juta kes dilaporkan di seluruh dunia, menurut Universiti Johns Hopkins. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR