Covid-19: CDC syor pakai pelitup muka paling beri perlindungan

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) lewat Jumaat menyemak semula panduannya kepada rakyat negara itu berhubung pemakaian pelitup muka, sambil mencadangkan “pakai pelitup muka yang paling memberi perlindungan kepada anda”, walaupun agensi itu sebelum ini meminta penggunaan N95 dihentikan.

CDC menjelaskan dalam laman webnya yang disemak semula bahawa “orang ramai boleh memilih pelitup muka seperti N95 dan KN95” selain tidak perlu bimbang berhubung kekurangan bekalan N95.

Agensi itu menambah rakyat Amerika perlu memakai pelitup muka yang paling sesuai yang boleh dipakai secara konsisten.

Menurut CDC mereka mahu menggalakkan rakyat AS memakai pelitup muka yang memberi keslamatan daripada mendorong mereka memakai pelitup muka gred tinggi.

“Memakai pelitup muka adalah alat kesihatan awam yang kritikal untuk mencegah penyebaran Covid-19, dan penting untuk diingat bahawa mana-mana pelitup muka adalah lebih baik daripada tiada langsung,” kata CDC.

Agensi kesihatan itu menambah bahawa sementara semua pelitup muka dan alat pernafasan menyediakan beberapa tahap perlindungan, cara pemakaian yang betul memberikan tahap perlindungan tertinggi.

Ia berkata cadangan yang disemak semula itu mencerminkan sains mengenai pelitup muka dan apa yang telah dipelajari dalam tempoh dua tahun penularan Covid-19.

Kes Covid-19 telah meningkat dan lebih ramai rakyat AS memilih alat perlindungan, termasuk pelitup muka gred lebih tinggi. Secara keseluruhan, AS mencatatkan hampir 800,000 jangkitan baharu sehari dan merekodkan tahap tinggi pesakit yang dimasukkan ke hospital dijangkiti Covid-19.

Lonjakan Omicron bagaimanapun, semakin perlahan di kawasan yang pertama kali dilanda, termasuk negeri-negeri di timur laut dan selatan AS, menurut analisis Reuters.

Tetapi jumlah kes baharu meningkat 89 peratus pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya di negeri-negeri sebelah barat AS.

Beberapa pembuat pelitup muka N95 di AS memberitahu Reuters bahawa mereka mencatat rekod jualan yang tinggi selepas pakar penyakit berjangkit AS Anthony Fauci mengesyorkan di CNN bahawa rakyat Amerika perlu memakai pelitup muka berkualiti tertinggi.

Pelitup muka N95 yang dipakai dengan betul akan menapis sekurang-kurangnya 95 peratus zarah di udara, menghalang apa-apa yang lebih besar daripada 0.3 mikron daripada melaluinya.

Daerah Los Angeles – mengandungi penduduk paling ramai di AS – akan mula mewajibkan semua majikan menyediakan pelitup muka gred perubatan, seperti pelitup muka pembedahan, KF94, KN95 atau N95, kepada pekerja yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 ketika bertugas. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR