Covid-19: Beberapa wilayah Australia catat penurunan kes

Kes jangkitan baharu Covid-19 di wilayah Victoria dan New South Wales, Australia hari ini tunjuk penurunan ketika pihak berkuasa dalam usaha untuk melonggarkan sekatan di saat kadar vaksinasi di negara itu semakin meningkat.

Dalam tempoh 24 jam lalu 1,420 jangkitan tempatan dilaporkan di Victoria, kebanyakannya di bandar raya Melbourne, turun 1,763 kes yang direkodkan semalam.

Manakala, 11 kematian baharu direkodkan, dan merupakan angka tertinggi harian setelah varian Delta mula menular di seluruh negara itu.

Sejak 5 Ogos lalu, Melbourne diletakkan di bawah perintah berkurung ketika negara itu berdepan gelombang ketiga disebabkan varian Delta yang menular ke seluruh bandar Sydney di negeri New South Wales, dan Canberra, sementara beberapa negeri dan wilayah lain mencatatkan sifar kes.

Selain itu, pihak berkuasa Victoria turut merancang untuk melonggarkan beberapa sekatan ketat di wilayah itu setelah 70 peratus daripada populasi dewasanya lengkap divaksin yang dijangka dicapai akhir bulan ini dan lebih banyak kelonggaran akan dikurangkan setelah ianya mencapai 80 peratus.

Di New South Wales (NSW) pula, Sydney akan ditutup mulai Isnin ini untuk mempercepatkan program vaksinasi nasional di negara itu.

Hampir 68 peratus populasi dewasa di wilayah itu sudah lengkap divaksin, dan angka 70 peratus akan dicapai mulai Khamis ini dengan jangkitan harian juga menunjukkan penurunan di bawah 600 kes untuk pertama kalinya dalam tempoh 7 minggu.

Ketua Menteri NSW, Dominic Perrottet memaklumkan bahawa beliau akan ‘membincangkan semula beberapa isu’ mengenai rancangan pembukaan semula sempadan wilayah negara itu bersama pegawai kesihatan.

“Apa pun keputusan yang akan kami lakukan, kami akan memastikan ianya dilaksanakan dengan cara selamat untuk semua orang dan adalah penting untuk menaikkan kembali ekonomi di bandar, selain memulihkan semula kehidupan seluruh penduduk di Sydney,” jelasnya kepada stesen radio 2GB.

Sehingga hari ini, angka jangkitan di Australia tetap rendah berbanding negara dunia lain, dengan sekitar 117,000 kes jangkitan dan 1,368 kematian, kerana tahap vaksinasi di negara itu semakin meningkat dan kadar kematian akibat varian Delta masih terkawal. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR