Covid-19: Australia izin rakyat keluar negara tanpa mohon kebenaran

Australia akan menarik balik larangan ke atas rakyatnya untuk melancong ke luar negara tanpa kebenaran, kata Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Pengumuman itu dibuat ketika sempadan negara berkenaan akan dibuka kepada pekerja mahir dan pelajar antarabangsa menjelang akhir tahun.

Selepas 18 bulan Australia menutup pintu sempadan antarabangsanya, rakyat yang lengkap divaksin kini tidak perlu lagi meminta kebenaran untuk keluar negara, kata kenyataan itu.

Keputusan itu juga menyusul kadar vaksinasi individu dewasa di negara itu yang melengkapkan suntikan vaksin masing-masing hampir mencapai 80 peratus.

Menteri Dalam Negeri, Karen Andrews berkata sementara warga Australia kini diutamakan, lebih banyak sekatan perjalanan – termasuk bagi sesetengah bukan warganegara – akan dilonggarkan apabila kadar vaksinasi meningkat.

“Sebelum penghujung tahun, kami menjangkakan kemasukan pekerja mahir dan pelajar antarabangsa yang lengkap vaksinasi sepenuhnya,” katanya.

Perdana Menteri Scott Morrison, yang meramalkan perubahan awal bulan ini, berkata Australia kini sangat hampir untuk mengumumkan gelembung perjalanan timbal balik dengan beberapa negara.

Pada 17 Mac 2020, Australia mengenakan sekatan sempadan paling ketat di dunia di bawah Akta Biosekuriti 2015 sebagai tindak balas untuk mengekang penularan Covid-19.

Selama hampir 600 hari, banyak penerbangan antarabangsa telah digantung, dan perjalanan ke luar negara semakin perlahan. Tidak ada siapa yang dibenar keluar atau masuk menyebabkan ramai sanak-saudara yang terpisah jauh di negara asing. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR