
Penunjuk perasaan di Sydney, Melbourne dan Canberra di Australia membantah tindakan penutupan bandar raya itu susulan penularan Covid-19. - Gambar AFP
Lebih separuh daripada populasi dewasa Australia telah lengkap divaksinasi sehingga hari ini, tatkala pihak berkuasa memaklumkan usaha terus dilakukan untuk meningkatkan inokulasi dengan harapan dapat melonggarkan sekatan, sementara kes baharu hampir pada tahap rekod harian di Victoria.
Australia bergelut dengan gelombang ketiga yang menyaksikan jangkitan meningkat susulan penularan varian Delta, yang membawa kepada sekatan dan penutupan dua bandar terbesarnya – Sydney dan Melbourne – serta ibu negara, Canberra, sehingga menjejaskan hampir separuh daripada 25 juta penduduknya.
Kekangan yang sukar dan keputusan menutup tapak pembinaan selama dua minggu susulan penularan serius Covid-19 dalam kalangan pekerja mencetuskan tunjuk perasaan antipenutupan di Melbourne, bandar kedua terbesar di Australia, selama tiga hari berturut-turut.
Polis hari ini, turut menahan lebih ramai penunjuk perasaan di Melbourne, selain cuba menghalang lebih banyak tunjuk perasaan diadakan.
Ketika kebanyakan kawasan di tenggara Australia masih kekal dengan perintah duduk di rumah, Australia Barat yang bebas Covid-19, bersiap menjadi tuan rumah kepada final bola sepak buat pertama kali di hadapan 60,000 peminat di Stadium Perth, Ahad ini.
Sebelum ini sejak 1898 Melbourna menjadi tuan rumah kepada final itu, sehingga pandemik Covid-19 memaksa acara itu dipindahkan ke Brisbane tahun lalu.
Negeri Victoria hari ini melaporkan satu kematian dan 733 jangkitan baharu, jumlah kedua tertinggi harian, berbanding kes tertinggi sebanyak 766 pada Khamis. Kebanyakan kes dilaporkan di Melbourne.
Pemimpin New South Wales dan Victoria berharap lebih banyak kebebasan dapat diberikan kepada penduduk sebaik sahaja 70 peratus populasi dewasa berusia 16 tahun ke atas lengkap divaksinasi bulan depan.
Sehingga kini, 57 peratus populasi dewasa di New South Wales lengkap divaksin, lebih tijggi daripada purata 50.1 peratus peringkat nasional.
Jangkitan harian di New South Wales, negeri yang menjadi pusat penularan Covid-19 di Australia – juga semakin terkawal, dengan kes baharu turun kepada 1,043 kes berbanding 1,063 kes semalam. – Agensi