Ketika kebimbangan semakin meningkat dalam kalangan pegawai kesihatan Amerika Syarikat (AS) mengenai penularan jangkitan baharu Covid-19, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengatakan semua individu berumur 50 tahun dan ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak kedua, sekurang-kurangnya empat bulan selepas menerima penggalak pertama.
Sebelum ini, agensi itu berkata mereka yang berumur 50 tahun ke atas mempunyai pilihan suntikan tambahan tetapi hanya menggalakkan mereka yang berumur lebih 65 tahun atau yang mempunyai kekurangan imun.
Memetik New York Times, panduan baharu itu, yang dikeluarkan dalam satu kenyataan di laman web CDC pada Khamis (19 Mei), juga diperluaskan kepada sesiapa yang berumur 12 tahun dan lebih tua dengan kekurangan imun tertentu.
CDC berkata ia mengubah nasihatnya kerana peningkatan jangkitan yang stabil sepanjang bulan lalu, ditambah dengan “peningkatan yang mendadak dan ketara dalam kemasukan ke hospital untuk warga Amerika yang lebih tua.”
Kes baharu yang disahkan melepasi purata 100,000 sehari sekali lagi minggu ini, menurut pangkalan data New York Times.
Dan di peringkat nasional, kemasukan ke hospital individu yang dijangkiti Covid-19 adalah purata lebih daripada 23,800 setiap hari pada Khamis, 31 peratus lebih tinggi daripada dua minggu lalu.
Kebanyakan rakyat AS berusia 50 tahun ke atas menerima dos terakhir vaksin Covid-19 mereka lebih enam bulan lalu.
“Keadaan itu menyebabkan “ramai yang terdedah tanpa perlindungan yang mereka perlukan untuk mencegah penyakit teruk, kemasukan ke hospital dan kematian,” kata CDC.
Dalam amaran lain mengenai risiko Covid-19 yang semakin meningkat, Pengarah CDC Dr Rochelle Walensky berkata lebih daripada 45 peratus rakyat AS kini tinggal di kawasan di mana kadar penularan cukup tinggi sehingga mereka sekurang-kurangnya perlu mempertimbangkan untuk memakai pelitup muka di dalam ruang tertutup awam.
Ia disebabkan lonjakan besar daripada data yang dipetiknya hanya dua hari sebelumnya pada taklimat Rumah Putih.
Dalam mesej yang disiarkan pada hari Jumaat di Twitter, Dr Walensky berkata mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi – sebahagian besarnya di Timur Laut – perlu memakai pelitup muka di ruang tertutup awam.
“Mereka yang berada di kawasan berisiko sederhana harus mempertimbangkan pemakaian pelitup muka berdasarkan penilaian mereka terhadap risiko peribadi,” katanya. – NYT