Covid-19: AS beri amaran perjalanan ke Mexico, Brazil dan Singapura

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan nasihat kepada rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke beberapa negara, termasuk Mexico, Brazil, Singapura, Ecuador, Kosovo, Filipina dan Paraguay, susulan peningkatan kes Covid-19.

CDC kini menyenaraikan hampir 130 negara dan wilayah dengan kes Covid-19 sebagai “Tahap Empat: Sangat Tinggi.” Ia juga menambah Anguilla, Guiana Perancis, Moldova dan Saint Vincent serta Grenadines ke tahap tertinggi pada hari Isnin.

Jabatan Negara AS juga menaikkan nasihat perjalanannya untuk Mexico dan beberapa negara lain yang disenaraikan oleh CDC berada pada “Tahap 4: Jangan Melancong.”

Sejak pertengahan Disember, kerajaan AS telah menambah lebih daripada 60 negara dan wilayah pada senarai tempat yang perlu dielakkan, susulan kes varian Omicron.

CDC juga menaikkan amaran perjalanan untuk 11 negara dan wilayah kepada “Tahap Tiga: Tinggi” yang menggesa rakyat Amerika yang tidak divaksinasi untuk mengelakkan perjalanan tidak penting ke Bhutan, Brunei, Comoros, Polinesia Perancis, Gambia, Guinea, Guinea-Bissau, Honduras, Liberia , Nepal dan Oman.

Agensi itu juga meletakkan Kuala Lumpur pada tahap tiga di mana pengembara dinasihat melengkapkan vaksinasi masing-masing sebelum melakukan perjalanan ke Malaysia, selain beberapa peraturan.

“Jika anda tidak mendapat vaksin Covid19, elakkan perjalanan ke Malaysia. Walaupun anda telah menerima vaksin, anda mungkin masih berisiko untuk mendapat dan menyebarkan Covid-19.

“Individu berumur dua tahun ke atas hendaklah memakai pelitup muka yang sesuai dan betul di tempat awam dalam bangunan. Patuhi semua keperluan dan peraturan di Malaysia,” kata CDC.

CDC menyenaraikan 16 negara di “Tahap 2: Sederhana” atau “Tahap 1: Rendah” dan 40 destinasi lain disenaraikan sebagai tidak diketahui.

Bulan lalu, AS bersetuju menarik balik sekatan perjalanan ke atas lapan negara di selatan Afrika yang dikenakan pada November susulan penemuan Omicron. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR