Covid-19: 63 pesakit meninggal, hospital Indonesia kurang bekalan oksigen

Pemerintah Republik Indonesia mengarahkan industri gas tempatan menambah pengeluaran oksigen setelah puluhan orang dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital, kerana kekurangan bahan berkenaan ketika negara itu berdepan peningkatan membimbangkan jangkitan Covid-19.

Hari ini negara itu merekodkan 27,233 kes baharu Covid-19 dan 555 kematian, berbanding semalam sebanyak 27,913 kes dan 493 kematian.

Hospital Sarjito di Yogyakarta, Jawa dalam satu kenyataan berkata 63 pesakitnya meninggal dunia semalam dan awal pagi tadi kerana kekurangan bekalan oksigen sejak semalam dan hari ini.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada kematian itu ada kaitan dengan jangkitan Covid-19.

Kenyataan itu berkata pada awalnya pihak hospital telah membuat persediaan dengan menambah bekalan oksigen beberapa hari sebelum kes meningkat.

“Tetapi jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital sejak Jumaat lalu telah melebihi had permintaan terhadap oksigen,” katanya sambil menjelaskan keadaan pulih selepas pihak hospital itu menerima bekalan tambahan.

Sementara itu, jurucakap pasukan penanganan Covid-19 Indonesia, Siti Nadia Tarmizi memaklumkan pemerintah telah mengemukakan kepada industri gas tempatan supaya meningkatkan pengeluaran oksigen perubatan.

“Kementerian Kesihatan turut mengarahkan industri gas negara supaya meningkatkan pengeluaran oksigen bagi memenuhi permintaan 800 tan setiap hari. Ini kerana, industri ini masih mempunyai kapasiti terbiar sebanyak 225,000 tan setahun.

“”Kami juga berharap orang ramai tidak menyimpan bekalan oksigen di rumah masing-masing,” katanya.

Penularan varian Delta yang pertama kali dikenal pasti di India, mendorong peningkatan jumlah kes yang tinggi di Indonesia sehingga menjejaskan sistem kesihatan negara itu, khusus di Pulau Jawa yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi.

Mulai Selasa, Indonesia akan mengehadkan kemasukan pelawat asing, kecuali perjalanan diplomatik, dan individu yang menerima vaksin sepenuhnya selain negatif dalam ujian PCR.

Pengunjung bagaimanapun masih perlu menjalani kuarantin lapan hari semasa ketibaan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR