Covid-19: 3,163 kes baharu, 13 kematian di Singapura semalam

Singapura mencatat 3,163 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, meningkat sedikit berbanding 3,112 kes yang dilaporkan pada Sabtu.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam kemas kini data Covid-19 memaklumkan seramai 13 lagi pesakit berumur 57 hingga 89 tahun meninggal dunia dalam tempoh itu.

Angka itu menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di negara itu kini sebanyak 198,374 kes, manakala jumlah kematian meningkat kepada 407 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, 3,163 adalah jangkitan dalam komuniti, 414 kes dikesan di perumahan pekerja asing dan empat kes import.

Kadar jangkitan mingguan turun kepada 1.12, berbanding 1.14 pada Sabtu. Kadar jangkitan mingguan melebihi satu menunjukkan jumlah kes baharu mingguan masih meningkat.

MOH berkata setakat ini 284 pesakit memerlukan oksigen tambahan di hospital awam, 69 pesakit tidak stabil dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dan 61 pesakit lagi dimasukkan ke ICU serta memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jumlah penggunaan kemudahan di ICU adalah sebanyak 68.3 peratus, meningkat berbanding 68 peratus pada Sabtu, kata MOH. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR