Covid-19: 1,040 kematian, 34,379 kes baharu ‘hari hitam’ buat Indonesia

Buat pertama kali hari ini, 7 Julai 2021, Indonesia merekodkan kes kematian akibat Covid-19 melepasi angka 1,000. - Gambar AP

Indonesia hari ini melaporkan kes kematian tertinggi melebihi paras 1,000 sejak pandemik Covid-19 mula dikesan di negara itu Mac tahun lalu.

Buat pertama kali, dalam tempoh 24 jam seramai 1,040 pesakit Covid-19 meninggal dunia di negara keempat paling ramai penduduk di dunia dengan jumlah melebihi 230 juta.

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia dalam kenyataannya memberitahu jangkitan harian juga merekodkan angka tertinggi apabila 34,379 kes baharu dilaporkan, naik daripada 31,189 yang dijangkiti semalam.

Negara itu kini melaporkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 adalah 2,379,397 kes dengan 62,908 kematian.

Sebelum ini pemerintah Indonesia melaksanakan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) atau ‘lockdown’ di Pulau Jawa dan Bali, bermula 3 Julai hingga 20 Julai ini.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat beli-belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor non essential, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restauran, kedai makan atau warung (dine in) dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan reakrasi ditutup.

Susulan peningkatan kes hari ini, pemerintah Indonesia memperluaskan lagi penguatkuasaan perintah itu ke seluruh negara, termasuk di 43 daerah di Pulau Sumatera.

Sekatan terbaharu itu merangkumi 75 peratus keperluan kerja dari rumah untuk sektor yang tidak penting, penutupan masjid dan gereja. Manakala pusat beli-belah dan restoran ditutup pada jam 5 petang, kecuali untuk dibawa pulang.

Kawasan di luar zon kecemasan ‘Tahap 4’ diberi sedikit kelonggaran.

Pada masa sama Kementerian Kesihatan juga memaklumkan susulan kenaikan kes harian itu, kadar penggunaan katil di hospital untuk rawatan Covid-16 di Lampung, Kepulauan Riau, Sumatera Barat, Kalimantan Timur dan Papua Barat, sudah melebihi 60 peratus. – Agensi

POPULAR