Covid-19: 10 negara halang penerbangan dari India

Pekerja kesihatan yang memakai peralatan pelindung diri membawa mayat pesakit Covid-19 di luar hospital Guru Teg Bahadur, di New Delhi, India, pada 24 April.

Banyak negara termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Kuwait, Perancis dan Kanada sudah menyekat penerbangan dari India dengan alasan menghalang penyebaran virus B.1.617.

Iran, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jerman dan Korea Selatan turut menyekat penerbangan dari India masuk ke negara mereka.

“Agar tidak membahayakan kempen vaksinasi kami, perjalanan ke India mesti dihalang,” kata Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn.

Katanya, mulai malam tadi hanya rakyat Jerman yang disahkan negatif Covid-19 dibenarkan memasuki negara itu dari India, tetapi mesti dikuarantin selama 14 hari.

Pada Ahad, India melaporkan 349,691 kes baharu Covid-19, hari keempat berturut-turut negara itu mencatatkan rekod dunia untuk jangkitan harian semasa wabak berkenaan.

Negara ini juga melaporkan jumlah kematian harian tertinggi untuk hari kesembilan berturut-turut, iaitu sebanyak 2,767 kes dalam tempoh 24 jam terakhir.

Negara yang mempunyai jumlah penduduk 1.3 bilion orang itu mencatat lebih sejuta kes baru dalam tiga hari terakhir, menjadikan jumlah dijangkiti sebanyak 16.9 juta kes, termasuk 192,311 kematian.

‘Tsunami Covid-19’ di India sekarang ini berlaku hanya enam minggu selepas Kementerian Kesihatan negara itu mengisytiharkan mereka hampir berjaya menamatkan pandemik Covid-19. – Agensi