COVAX edar setengah juta dos vaksin Covid-19 kepada negara miskin

Hampir 500 juta dos vaksin Covid-19 sudah dihantar ke seluruh dunia melalui program COVAX yang bermatlamat untuk memberikan akses global yang adil.

COVAX ditubuhkan untuk menbolehkan negara-negara miskin mendapat bekalan vaksin, tetapi sebaliknya yang terjadi apabila kebanyakan negara kaya menempah dos vaksin secara berlebihan dari negara pengeluar.

Sebelum ini, COVAX yang diketuai bersama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persekutuan Vaksin GAVI, dan Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI), berharap pada awal tahun lalu dapat mengedarkan hampir dua bilion dos vaksin Covid-19.

Menurut Ketua Eksekutif GAVI, Seth Berkley usaha keras dan dedikasi luar biasa daripada rakan kongsi dan pekerja kesihatan, COVAX sudah mengagihkan hampir 500 juta vaksin Covid-19 ke 144 negara dan wilayah terlibat.

Jelasnya, 92 wilayah yang tersenarai negara termiskin boleh mengakses suntikan secara percuma melalui COVAX, dengan para penderma bakal menanggung kosnya.

“COVAX akan berdepan dengan cabaran pada tahun ini dalam bentuk larangan eksport, kekurangan bekalan dan nasionalisme vaksin.

“Namun, pengedaran vaksin di negara miskin kini semakin meningkat dengan pantas ketika kami berusaha untuk memastikan negara mempunyai beberapa banyak dos vaksin yang mereka mampu uruskan.

“Apabila penderma dan pengilang memaklumkan bila dos vaksin akan tiba, negara boleh merancang pelancaran nasional berskala besar dan ini satu-satunya langkah untuk merapatkan jurang vaksinasi dunia,” jelasnya.

Bagaimanapun, GAVI berkata lima daripada negara termiskin iaitu Chad, DR Congo, Congo, Haiti, Sudan Selatan dan Yaman tidak mempunyai dos yang mencukupi untuk mencapai tahap vaksinasi dua peratus daripada populasi mereka.

Sejak minggu lalu, WHO memaklumkan lebih 3.3 juta kes baharu Covid-19, iaitu naik enam peratus berbanding minggu sebelumnya.

Manakala hampir 50,000 korban baharu dilaporkan dalam tempoh sama, dengan semua wilayah dilihat semakin stabil dan menunjukkan trend penurunan kecuali negara Eropah yang merekodkan peningkatan kes sebanyak lima peratus.

Sementara itu, pada peringkat dunia, jangkitan Covid-19 sudah mencecah sehingga 255 juta orang dan mengorbankan lebih dari 5.1 juta nyawa di 222 negara serta wilayah sejak ianya mula dikesan pada akhir tahun 2019 lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR