China nyata pendirian desak gencatan senjata dalam konflik Israel-Palestin

Menteri Luar China Wang Yi.

China menggesa supaya gencatan senjata dilaksanakan sekiranya mahu menghentikan konflik keganasan antara Israel dengan Palestin yang masih berlarutan sehingga insan tidak berdosa menjadi mangsa.

Pendirian itu dinyatakan Menteri Luar Wang Yi semasa perbincangan menerusi telefon dengan Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood yang juga menggesa supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tanggungjawab untuk meredakan ketegangan.

Katanya, konfrontasi itu berulang kali tercetus apabila konflik tidak dapat diselesaikan secara adil sehingga proses damai Timur Tengah terbabas dari landasan asal. Selain itu, resolusi Majlis Keselamatan PBB juga gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut Wang, selaku pengerusi bergilir Majlis Keselamatan PBB untuk Mei, China dua kali merintis usaha untuk mengadakan rundingan kecemasan mengenai konflik Palestin-Israel, namun tiada kesepakatan dicapai

China menggesa semua anggota Majlis Keselamatan PBB untuk menggalas tanggungjawab yang sepatutnya dan menyumbang secara praktikal terhadap usaha memelihara keamanan dan keselamatan serantau.

Sementara itu, Wang Yi menegaskan, pelaksanaan penyelesaian dua negara merupakan kaedah muktamad bagi penyelesaian isu Palestin.

Justeru China akan mempengerusikan debat terbuka mengenai konflik Palestin-Israel di Majlis Keselamatan PBB dan berharap semua pihak mencapai konsensus mengenai isu ini.

Selain menyokong teguh perjuangan rakyat Palestin dalam usaha mendapatkan hak mereka yang sah, China menyarankan penyelesaian isu itu dibuat secara adil melalui dialog politik, dan PBB, Liga Arab serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu memainkan peranan bersifat membina dalam penyelesaian isu itu.

POPULAR