
Kakitangan kesihatan diarah memakai sut pelindungan berikutan penularan wabak Covid-19 di Shanghai, China pada 9 Jun 2022. - Gambar Reuters
Shanghai mengumumkan pada Ahad berhubung penemuan sub-varian baharu Omicron – BA.5.2.1 – memaksa China bergelut semula dengan mutasi baharu Covid-19 dalam usahanya mencapai dasar sifar Covid.
Sub-varian baharu itu dikesan di daerah kewangan Pudong pada 8 Julai, dan dikaitkan dengan kes import, kata Naib Presiden Suruhanjaya Kesihatan Shanghai, Zhao Dandan.
Shanghai, di timur China, dibebaskan daripada perintah penutupan selama kira-kira dua bulan pada awal Jun, tetapi terus mengenakan sekatan ketat sebaik sahaja rantaian penularan baharu muncul.
“Bandar kami baru-baru ini terus melaporkan lebih banyak kes penularan tempatan Covid-19 dan risiko wabak merebak melalui masyarakat kekal sangat tinggi,” kata Zhao.
Beliau berkata penduduk di beberapa daerah utama Shanghai akan menjalani dua pusingan ujian Covid-19, dari 12 hingga14 Julai, dalam usaha mengawal wabak baharu.
Varian Omicron BA.5, yang memacu gelombang baharu jangkitan Covid-19 di luar negara, pertama kali ditemui di China pada 13 Mei membabitkan pesakit lelaki berusia 37 tahun yang terbang ke Shanghai dari Uganda, menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit China.
Varian BA.5 telah terbukti mempunyai kadar penularan yang dipercepatkan dan keupayaan mengelak daripada vaksin, kata Yuan Zhengan, ahli kumpulan penasihat pakar mengenai pencegahan Covid di bandar itu.
Tetapi vaksinasi masih berkesan untuk mencegah BA.5 daripada menyebabkan jangkitan serius atau kematian, tambahnya. – Agensi