China kumpul kapal pemusnah, AS pula berlatih di Semenanjung Korea

Empat kapal pemusnah terbesar dan paling canggih China dikesan di luar pantai timur negara itu ketika armada perang dan kapal induk Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) sedang mengadakan latihan dengan Jepun berhampiran Semenanjung Korea.

Saluran media sosial China, termasuk akaun Weibo ‘Eagle Eye on Military Vision’, menerbitkan gambar empat kapal di laut, manakala HI Sutton, penganalisis di US Naval Defense Intelligence News, mengenal pasti ianya adalah empat kapal pemusnah peluru berpandu kelas 055 Renhai China di perairan berhampiran Qingdao, ibu pejabat Armada Laut Utara.

Kelas 055 dianggap sebagai kapal pemusnah kedua paling berkuasa selepas kapal siluman ‘stealth’ kelas Zumwalt, USN.

Gambar-gambar itu, yang diambil oleh rangkaian Copernicus Kesatuan Eropah, muncul ketika AS dan Jepun mengadakan latihan bersama di Laut Jepun di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat berhubung pelancaran peluru berpandu Korea Utara.

Seorang penyelidik dari badan pemikir sains dan teknologi tentera Yuan Wang di Beijing, Zhou Chenming berkata empat kapal pemusnah Kelas 055 telah mengiringi dua kapal pengangkut pesawat negara itu, Liaoning dan Shandong, ketika mereka kembali ke limbungan kapal Dalian di Liaoning untuk penyelenggaraan.

“Tidak ada latihan ketenteraan rasmi untuk empat kapal itu, kerana armada tentera laut rasmi harus terdiri daripada pelbagai jenis kapal perang,” kata Zhou.

Empat kapal pemusnah Kelas 055 – Nanchang, Lhasa, Anshan dan Wuxi – telah ditugaskan dalam tempoh dua tahun lalu dengan China telah membina lapan kapal sedemikian secara keseluruhan – enam daripadanya telah memasuki perkhidmatan.

Kemunculan empat kapal pemusnah Kelas 055 dan latihan tentera laut bersama antara armada penyerang kapal induk USS Abraham Lincoln dengan Pasukan Pertahanan Maritim Jepun, juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-110 kelahiran pengasas Korea Utara, Kim Il-sung pada Jumaat, tarikh yang dikenali sebagai “Hari Matahari”.

Zhang Liangui, seorang profesor penyelidikan strategik antarabangsa berkata: “Korea Utara mengancam untuk menyambung semula pembangunan peluru berpandu jarak jauh dan ujian nuklearnya, yang pernah diumumkan akan dihentikan.

“Pyongyang takut dunia akan melupakannya di tengah-tengah krisis Ukraine yang berpanjangan kerana dilema rundingan gencatan senjata antara Moscow dan Kyiv.”

Collin Koh, felo penyelidik Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang di Singapura, berkata latihan tentera laut bersama AS-Jepun bertujuan menghalang provokasi berpotensi dari Korea Utara dan meyakinkan sekutu AS.

“Latihan itu mungkin bertujuan untuk memberi isyarat kepada Korea Utara bahawa gabungan bersekutu – sekurang-kurangnya antara Jepun dan AS – kekal kukuh, sementara mereka sedang berusaha untuk meyakinkan Korea Selatan untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan tiga hala.”

Jurucakap Armada Ke-7 AS memberitahu armada kapal pengangkut sedang menjalankan “operasi rutin dua hala” dengan Pasukan Pertahanan Maritim Jepun.

BERITA BERKAIT
POPULAR