China, Indonesia bertelingkah semula isu gerudi minyak di Laut Natuna

China memberitahu Indonesia supaya menghentikan penggerudian minyak dan gas asli di wilayah maritim di mana kedua-dua negara menganggap sebagai milik mereka di Laut China Selatan awal tahun ini, lapor Reuters yang memetik empat individu yang mengetahui perkara itu memberitahu.

Permintaan sama pernah dibuat sebelum ini tetapi tidak pernah dilaporkan, meningkatkan ketegangan kedua-dua negara berhubung sumber asli dalam kawasan tidak menentu di mana kedua-duanya mempunyai kepentingan strategik dan ekonomi global.

Sekeping surat daripada diplomat China kepada Kementerian Luar Indonesia dengan jelas menggesa Indonesia menghentikan penggerudian di pelantar luar pesisir kerana ia dikatakan dilakukan dalam wilayah China, menurut Muhammad Farhan, Ahli Parlimen Indonesia yang menganggotai Jawatankuasa Keselamatan Negara peringkat Parlimen.

“Jawapan kami sangat tegas, bahawa kami tidak akan menghentikan penggerudian kerana ia adalah hak kedaulatan wilayah kami,” katanya kepada Reuters.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia berkata: “Sebarang komunikasi diplomatik antara negara adalah bersifat rahsia dan kandungannya tidak boleh dikongsi.” Beliau enggan mengulas lanjut.

Kementerian Luar China, Kementerian Pertahanan dan Kedutaan China di Jakarta enggan mengulas berhubung surat itu.

Tiga lagi individu yang memberitahu mereka diberi taklimat mengenai perkara itu, turut mengesahkan berkaitan surat berkenaan. Dua daripada individu berkenaan berkata China mengulangi gesaan supaya Indonesia berhenti daripada menjalankan kerja-kerja penggerudian.

Indonesia berkata wilayah hujung selatan Laut China Selatan adalah zon ekonomi eksklusifnya di bawah Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menamakan kawasan itu sebagai Laut Natuna Utara pada 2017.

China membantah pertukaran nama itu dan menegaskan kawasan berkenaan berada dalam tuntutan wilayahnya yang luas di Laut China Selatan yang ditandai dengan ‘garisan sembilan terputus-putus’ berbentuk U, sempadan yang didapati tidak mempunyai asas undang-undang oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague pada 2016.

“Ia (surat itu) agak mengancam kerana ia merupakan usaha pertama diplomat China untuk membangkitkan agenda ‘sembilan garis putus-putus’ mereka terhadap hak kami di bawah Undang-undang Laut,” kata Farhan.

China ialah rakan dagangan terbesar Indonesia dan sumber pelaburan kedua terbesar, menjadikannya sebahagian agenda penting daripada cita-cita Jakarta untuk menjadi kuasa ekonomi peringkat tertinggi.

Pemimpin Indonesia mendiamkan diri mengenai perkara itu bagi mengelakkan konflik atau perbalahan diplomatik dengan China, kata Farhan dan dua orang lain yang bercakap kepada Reuters.

Farhan berkata China juga dalam surat berasingan, membantah latihan ketenteraan Garuda Shield yang diadakan pada Ogos.

“Latihan itu, yang melibatkan 4,500 tentera dari Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia, telah menjadi acara tahunan sejak 2009. Ini adalah protes pertama China terhadap mereka, menurut Farhan.

“Dalam surat rasmi mereka, kerajaan China menyatakan kebimbangan mereka mengenai kestabilan keselamatan di kawasan itu,” katanya.

Dalam tempoh beberapa hari setelah pelantar separa tenggelam, Noble Clyde Boudreaux, tiba di Blok Tuna di Laut Natuna untuk menggerudi dua telaga minyak pada 30 Jun, kapal Pengawal Pantai China dilihat berkeliaran di kawasan itu sebelum ketibaan kapal Pengawal Pantai Indonesia, menurut data pergerakan perkapalan.

Dalam tempoh empat bulan, kapal China dan Indonesia masing-masing membayangi antara satu sama lain di sekitar medan minyak dan gas, kerap berada dalam jarak satu batu nautika antara satu sama lain, menurut analisis data pengenalan kapal dan pengimejan satelit oleh Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), projek yang dikendalikan oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa yang berpangkalan di AS.

Data dan imej yang disemak oleh AMTI dan Initiatif Keadilan Lautan Indonesia (IOJI), sebuah badan pemikir bebas yang berpangkalan di Jakarta, menunjukkan kapal penyelidikan China, Haiyang Dizhi 10, tiba di kawasan itu pada akhir Ogos, menghabiskan sebahagian besar daripada tujuh minggu berikutnya, sebelum bergerak perlahan dalam corak grid bersebelahan Blok D-Alpha, rizab minyak dan gas juga di perairan yang dipertikaikan, dianggarkan bernilai AS$500 bilion menerusi kajian kerajaan Indonesia.

“Berdasarkan corak pergerakan, sifat dan pemilikan kapal itu, ia kelihatan seperti sedang menjalankan tinjauan saintifik rizab D-Alpha,” kata Jeremia Humolong, penyelidik di IOJI.

Pada 25 September lalu, kapal pengangkut AS, Ronald Reagen, menghampiri pada jarak tujuh batu nautika dari pelantar penggerudi Blok Tuna.

Ini adalah kejadian pertama di mana kapal pengangkut pesawat AS yang beroperasi dalam jarak sedemikian di Laut China Selatan, kata AMTI dalam laporan yang diterbitkan pada November.

Empat kapal perang China turut dikerah ke wilayah berkenaan, lapor IOJI dan nelayan tempatan.

China sedang berunding dengan 10 negara Asia Tenggara, termasuk Indonesia, berhubung isu lautan yang kaya dengan sumber asli yang dipercayai mampu menghasilkan sekurang-kurangnya AS$3.4 trilion perdagangan tahunan.

Rundingan itu, dilaksanakan menerusi Asean, dimulakan semula tahun ini selepas dihentikan akibat wabak Covid-19.

Pendirian Beijing yang semakin agresif di Laut China Selatan juga telah mencetuskan kebimbangan di Jakarta.

ndonesia tidak membuat sebarang tuntutan rasmi ke atas kawasan di Laut China Selatan di bawah peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, namun percaya keluasan perairannya telah ditetapkan dengan jelas oleh undang-undang antarabangsa.

Penggerudian telah disiapkan tepat pada masanya, menurut jurucakap Harbour Energy, pengendali Blok Tuna. Syarikat itu dijangka mengeluarkan keputusan penggerusian pada 9 Disember ini. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR