Cendawan mampu kurangkan risiko masalah mental

Satu kajian di London mendapati pengambilan cendawan mampu membantu seseorang untuk mengurangkan risiko mengalami masalah mental seperti kemurungan – keputusan sama seperti kajian yang pernah dilakukan Universiti Johns Hopkins.

Pasukan pakar dari Kolej Perubatan Penn melakukan kajian data pemakanan dan kesihatan mental ke atas hampir 24,000 orang dewasa.

Daily Mail melaporkan, kajian tersebut dilaksanakan lebih 10 tahun menunjukkan sukarelawan yang tidak memakan cendawan lebih terdedah kepada masalah kemurungan.

“Kajian itu mendapati kemungkinan manfaat kesihatan akan dapat diperoleh sekiranya seseorang itu memakan cendawan,” kata ketua pengarang utama kajian, Dr. Joshua Muscat.

Pakar penyelidik yakin, asid amino yang terdapat pada cendawan mungkin menjadi faktor utama khasiat tersebut.

“Cendawan merupakan sumber makanan terbaik yang mengandungi asid amino ergothioneine yang bertindak sebagai sumber antikeradangan.

“Sumber ini dapat menurunkan risiko tekanan oksidatif yang mampu mengurangkan masalah mental melibatkan gejala kemurungan,” kata penyelidik utama kajian, Dr. Djibril Ba.

Manakala, kajian sebelum ini menunjukkan ergothioneine dapat membantu mengurangkan risiko bagi setiap indvidu untuk menghidap penyakit skizofrenia, gangguan bipolar dan kemurungan.

Kandungan kalium yang terdapat dalam cendawan butang putih juga boleg membantu mengurangkan peringkat awal kegelisahan.

Walaubagaimanapun, pakar penyelidik tidak menyatakan jenis cendawan yang dimakan oleh kesemua sukarelawan itu dan dengan itu, tidak dapat ditentukan secara saintifik jenis cendawan mana terbaik untuk mengurangkan masalah penyakit mental.

Menurut Institut Kesihatan Mental Amerika Syarikat (AS) kira-kira 17.3 juta individu dewasa di negara itu mengalami sekurang-kurangnya satu episod kemurungan.

Sebelum ini Universiti Johns Hopkins dalam percubaan klinikal kecil, memberi pesakit gangguan kemurungan utama (MDD) dua dos psilocybin bersama dengan psikoterapi dan menunjukkan penurunan gejala kemurungan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR