
Dua agensi kawalan ubat-ubatan Amerika Syarikat telah meluluskan vaksin Pfizer dan Moderna kepada bayi enam bulan hingga lima tahun. - Gambar CNBC
Jawatankuasa Penasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengenai Amalan Imunisasi meluluskan vaksin Covid-19 untuk bayi dan kanak-kanak, kumpulan umur terakhir yang masih belum layak untuk inokulasi.
Jawatankuasa itu pada Sabtu (18 Jun) mengundi 12-0 mengesyorkan vaksin tiga dos Pfizer dan vaksin dua dos Moderna untuk kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun.
Kelulusan itu menyusul kebenaran kecemasan untuk penggunaan diberikan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS pada Jumaat (17 Jun) bagi kedua-dua vaksin berkenaan.
Ia membabitkan vaksin dua dos Moderna untuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga lima tahun, dan tiga dos suntikan Pfizer untuk mereka yang berumur antara enam bulan dan empat tahun.
Pengarah CDC Rochelle Walensky menandatangani cadangan yang memberi nasihat rasmi dan membenarkan suntikan vaksin itu.
Suntikan akan tersedia di beribu-ribu klinik pediatrik, farmasi dan lokasi lain minggu ini, kata agensi itu dalam kenyataan selepas mesyuarat jawatankuasa berkenaan.
Presiden Joe Biden berkata keputusan itu menandakan “langkah monumental ke hadapan dalam usaha negara melawan virus SARS-CoV-2.”
“Vaksin ini selamat, sangat berkesan, dan akan memberikan ketenangan fikiran kepada ibu bapa apabila mengetahui anak mereka dilindungi daripada kesan terburuk Covid-19,” kata Biden dalam satu kenyataan.
Pengesahan CDC adalah berita yang dinanti-nantikan ibu bapa dan penjaga yang tidak sabar untuk memberikan anak-anak mereka menerima perlindungan sejak vaksin mula-mula tersedia lebih satu setengah tahun lalu.
Menurut data CDC, hanya 29 peratus kanak-kanak AS berumur lima hingga 11 tahun telah diberi vaksin sepenuhnya, sekali gus menunjukkan bahawa sesetengah ibu bapa teragak-agak atau kurang bermotivasi untuk memberi suntikan kepada anak-anak mereka.
Semasa pertemuan itu, pegawai perkhidmatan perisikan epidemik CDC, Sara Oliver berkata agensi itu cuba menangani isu berkenaan dengan memastikan maklumat tentang keselamatan dan keberkesanan vaksin ini tersedia untuk ibu bapa.
Sebagai contoh, agensi itu akan menganjurkan klinik pendidikan kesihatan dan webinar kepada ibu bapa serta menerbitkan bahan pendidikan di media sosial.
“Memastikan ibu bapa merasakan bahawa mereka mempunyai maklumat yang sesuai untuk membuat keputusan termaklum mengenai perkara ini adalah sangat penting,” kata Oliver.
Kanak-kanak kurang berkemungkinan daripada orang dewasa mengalami akibat terburuk Covid-19, dan mereka di bawah umur lima tahun menyumbang kira-kira 440 daripada lebih satu juta kematian di AS.
Namun, pegawai kesihatan memberi amaran, kadar kemasukan ke hospital dan kematian bagi kanak-kanak, terutama ketika gelombang Omicron, membimbangkan.
Data yang dibentangkan pada mesyuarat Sabtu menunjukkan bahawa sejak permulaan wabak itu, terdapat lebih dua juta kes Covid-19; 20,000 dimasukkan ke hospital; dan 200 kematian dalam kalangan kanak-kanak AS berumur enam bulan hingga empat tahun.
Keberkesanan terhadap jangkitan adalah lebih tinggi bagi Pfizer, dengan syarikat itu meletakkannya pada 80 peratus, berbanding anggaran Moderna sebanyak 51 peratus untuk kanak-kanak berumur enam bulan hingga dua tahun dan 37 peratus bagi mereka yang berumur dua hingga lima tahun. – Agensi