
Virus cacar monyet.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran risiko awam boleh menjadi tinggi jika virus itu mengeksploitasi peluang untuk mewujudkan dirinya sebagai patogen manusia dan merebak kepada kumpulan yang berisiko tinggi mendapat penyakit teruk seperti kanak-kanak kecil dan orang yang kurang imun.
WHO juga tidak yakin penularan virus cacar monyet dapat dibendung sepenuhnya ketika ini, kata Pengarah WHO untuk wilayah Eropah, Hans Kluge pada Selasa.
“Kami tidak pasti sama ada kami dapat membendung penularan wabak itu sepenuhnya.
“Oleh itu, perlu dipastikan bahawa kontak rapat perlu dikurangkan, tindakan berkesan dalam kalangan komuniti, pengasingan kes ketika tempoh penularan, pemantauan dan pengesanan kontak rapat.
“Setakat ini, cacar monyet tidak memerlukan langkah pencegahan sama seperti pandemik Covid-19 kerana virus itu tidak merebak melalui cara yang sama.
“Bagaimanapun, potensi penularan virus itu adalah tinggi,” kata Kluge dalam satu kenyataan.
Agensi itu menggesa penyedia penjagaan kesihatan untuk memerhatikan dengan teliti kemungkinan gejala seperti ruam, demam, bengkak kelenjar, sakit kepala, sakit belakang, sakit otot dan keletihan, dan menawarkan ujian kepada sesiapa yang mempunyai gejala ini.
Bagaimanapun, memandangkan kebanyakan kes awal wabak ini telah dilaporkan dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, “semua usaha harus dilakukan” untuk komuniti yang terjejas, kata WHO.
Cacar monyet bukanlah penyakit kelamin, tetapi ia boleh merebak melalui hubungan seks apabila seseorang mengalami ruam aktif.
Para saintis sedang menyusun kod genetik sampel virus daripada pesakit untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal-usulnya, tetapi “data awal mengesahkan bahawa genom itu tergolong dalam virus monkeypox Afrika Barat,” menurut WHO.
Sehingga kini, WHO telah menerima laporan mengenai 257 kes cacar monyet yang disahkan dan kira-kira 120 kes yang disyaki di 23 negara di mana virus itu tidak endemik setakat Khamis. – Agensi