
Kanak-kanak tiga tahun yang disembunyikan dalam peti sejuk beku kini dirawat di hospital Hanoi. - Gambar agensi
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, yang dimasukkan ke dalam peti sejuk beku selepas seorang lelaki cuba mencekiknya dengan tali kasut, diselamatkan tepat pada masanya oleh keluarga dan jiran.
Kanak-kanak lelaki itu dipercayai berada di dalam peti sejuk selama lebih sejam dan hampir tidak bernyawa ketika ditemui selepas pencarian besar-besaran dilakukan.
Menurut Vn Express, kejadian itu berlaku di Wilayah Ha Nam pada petang Sabtu dan polis sudah menahan seorang suspek.
Kanak-kanak itu mengalami kegagalan pernafasan, hipotermia dan juga kecederaan di kepala, muka dan leher. Digelar Min, dia kini dirawat di Hospital Kanak-Kanak Nasional di Hanoi.
Doktor berkata kecederaan fizikal kanak-kanak itu, pendarahan dan keradangan di kepala, muka, leher dan lidah, menyukarkan dia untuk makan tetapi keadaannya kini stabil.
Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Komune Nhan Chinh, Ngo Minh Toan berkata, kejadian berlaku di Kampung Thuong Vi dan suspek merupakan jiran yang menyewa sebuah rumah untuk menjual teh ais.
Datuk budak lelaki itu Nguyen Van Thuoc memberitahu Vn Express bahawa dia pulang awal daripada mesyuarat, hanya untuk mendapati cucunya hilang.
“Kamu sepatutnya baik dan bermain dengan ibu kamu. Saya akan kembali tidak lama lagi,” Thuoc yang berusia 65 tahun memberitahu Min sebelum pergi ke mesyuarat pada kira-kira jam 2 petang.
Sekitar jam 5 petang ketika Thuoc kembali, tetapi tidak menemui Min. Dia kemudian pergi ke rumah anaknya dan enam jiran yang lain, tetapi cucunya masih tiada.
Merasakan ada sesuatu yang tidak kena, Thuoc mengajak ahli keluarga dan jirannya untuk mencari Min malah takut budak itu telah diculik.
Pada masa sama, anak lelaki Thuoc memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menunjukkan pada jam 3.20 petang, Min telah memasuki kedai teh ais itu, tetapi tidak keluar.
Tetapi pada jam 4.15 petang, pemilik kedai berusia 25 tahun itu menutup kedai dan beredar dengan motosikalnya.
Keluarga itu kemudian bergegas ke kedai terbabit tetapi mendapati ia berkunci dan menghubungi lelaki itu. Dia menafikan Min berada di kedai dan tidak menjawab panggilan lanjut.
Laporan Vn Express berkata Thuoc kemudian mengambil gergaji dan tukul dan meminta beberapa jiran membantu memotong kunci dan memecahkan pintu kaca.
Mereka mencari tempat itu tetapi pada mulanya tidak menemui kanak-kanak itu.
Dia menyuruh lima yang lain meneruskan pencarian di dalam rumah manakala dia keluar untuk melihat sekeliling. Ramai dari kawasan kejiranan telah berkumpul dan turut membantu mencari Min.
Seorang lagi jiran, Dang Trung Thin, kemudian menjerit bahawa budak itu telah ditemui.
Menceritakan bagaimana dia menemui budak itu, Thin yang berusia 27 tahun berkata dia memeriksa peti ais tetapi tidak nampak Min.
Semasa dia melangkah ke belakang, dia mempunyai firasat yang menyuruhnya memeriksa semula peti sejuk beku.
Dia kemudian melihat kotak karton di dalamnya dengan beg ais di atasnya. Semasa dia cuba membawanya, kotak itu koyak dan dua kaki kecil terkeluar. Masa tu jam 5.50 petang.
Dia mendapati Min terbaring tidak bergerak dan kecut. Terdapat juga tali kasut putih yang dililit di lehernya.
“Saya membawanya keluar dan merasakan jantungnya masih berdegup. Tetapi dia kesejukan,” kata Thin.
“Jika saya lambat sedikit atau tidak membuka semula peti sejuk, siapa tahu apa yang akan berlaku. Tetapi buat masa ini, semuanya baik-baik saja,” kata Thin.
Min dikejarkan ke klinik berdekatan, kemudian ke hospital tempatan dan akhirnya ke Hanoi.
Polis Ha Nam telah menahan jiran itu – dilaporkan seorang askar yang telah diberhentikan kerja – dan dia dikatakan telah mengaku melakukan jenayahnya. – Agensi