Budak antara 4 mati ditembak

Empat, termasuk kanak-kanak terbunuh, manakala dua lagi cedera dalam insiden tembak menembak di sebuah bangunan di bandar Orange, California, hari ini, kata polis.

Jabatan Polis Orange yang bertindak ke atas aduan kejadian di Blok 200 West Lincoln Avenue pada jam 5.30 petang waktu tempatan dan berbalas tembakan dengan penyerang.

Jurucakap polis berkata, anggota yang bertugas melepaskan tembakan ke arah suspek, tetapi tidak pasti sama ada suspek cedera disebabkan tindakan sendiri.

Siasatan kemudian menemukan beberapa mangsa, termasuk empat yang maut. Polis bagaimanapun, belum menyatakan identiti semua mangsa yang maut atau cedera.

Seorang mangsa wanita cedera akibat tembakan dan dihantar ke hospital dalam keadaan kritikal, kata Lt Jennifer Amat pada sidang media.

“Penyerang itu juga berada dalam keadaan kritikal. Kejadian itu berlaku di kedua-dua tingkat bangunan berkenaan,” katanya.

Papan tanda di luar menunjukkan beberapa jenis perniagaan terletak di bangunan itu, termasuk pejabat insurans, firma perunding kewangan, perkhidmatan undang-undang dan kedai pembaikan telefon. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR