Britain umum sekatan baharu penerbangan ke atas Russia

Britain mengumumkan pada Rabu (9 Mac) sekatan penerbangan baharu yang memberikannya kuasa untuk menahan mana-mana pesawat Russia dan mengharamkan eksport penerbangan atau barangan berkaitan ruang angkasa ke Russia.

Britain juga akan mengukuhkan larangan ke atas pesawat Russia, dengan menjadikannya satu kesalahan jenayah bagi mana-mana syarikat yang terbang atau mendarat di negara itu.

Larangan itu termasuk mana-mana pesawat yang dimiliki, dikendalikan atau disewa oleh sesiapa sahaja yang berkaitan dengan Russia atau individu atau entiti yang ditetapkan.

Ianya termasuk kuasa untuk menahan mana-mana pesawat yang dimiliki oleh individu yang mempunyai kaitan dengan Russia, kata Pejabat Luar Britain dalam satu kenyataan.

“Mengharamkan pesawat Russia dari United Kingdom (UK) dan menjadikannya satu kesalahan jenayah untuk menerbangkannya akan mendatangkan lebih banyak tekanan ekonomi kepada Russia dan mereka yang hampir dengan Kremlin,” kata menteri luar Liz Truss.

Kementerian Luar akan menguatkuasakan undang-undang baharu pada Rabu, yang juga termasuk kuasa untuk mengeluarkan dari daftar pesawat British mana-mana kapal terbang milik individu dan entiti Russia yang disekat.

Langkah baharu itu juga akan menghalang eksport berkaitan penerbangan dan ruang angkasa termasuk insurans.

Ini bermakna perlindungan insurans ditarik balik ke atas polisi sedia ada dan penanggung insurans berpangkalan di Britain tidak akan dapat membayar tuntutan ke atas polisi sedia ada dalam sektor ini, kata kenyataan itu. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR