Britain umum ‘gelombang keluar’ mulai Isnin, buka semula negara

Perdana Menteri Britain Boris Johnson memanggilnya ‘gelombang keluar’ – pengakhiran kepada peningkatan jangkitan, kemasukan ke hospital dan kematian, – yang dikatakan oleh kerajaan Britain bagi membuka semula negara itu pada ‘Hari Pembebasan’ minggu depan .

Beliau berkata semua peraturan yang dikuatkuasakan untuk mengawal penularan Covid-19 di England akan berakhir Isnin depan – memakai pelitup muka dan melaksanakan penjarakan sosial hanya akan menjadi ‘keputusan peribadi’ tidak kira sama ada di lobi hospital, stesen bawah tanah atau di pusat hiburan yang penuh dengan pemuda tidak divaksin.

Langkah itu adalah perjudian terbesar pentadbiran Johnson yang berjuang untuk menyelesaikan penularan Covid-19 di negaranya. Britain kini mempunyai kadar jangkitan tertinggi di Eropah, setelah Cyprus, dan sejumlah 128,000 kematian.

Pada sidang media mengumumkan pengakhiran langkah sekatan bermula minggu depan, beliau dan penasihat saintifiknya menggunakan istilah baharu ‘gelombang keluar’ – untuk menunjukkan bahawa ini boleh menjadi serangan terakhir virus Covid-19 – dalam usaha negara itu untuk menamatkan semua undang-undang yang mengawal pandemik, dan kembali kepada hidup normal.

Penasihat saintifik kerajaan Patrik Vallance memanggilnya ‘gelombang besar kita yang terakhir’ dan ‘gelombang keluar’, suatu istilah bagi menggantikan gelombang ketiga, keempat atau kelima.

England merancang untuk menamatkan undang-undang pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial pada 19 Julai ini, kata Johnson.

Idea beliau dilihat sebagai ‘adalah lebih baik melaksanakannya sekarang, untuk mengatasi ramalan peningkatan jangkitan pada musim panas, bukannya pada musim sejuk ketika selesema bermusim kembali dan akan membebankan hospital.

“Jika tidak sekarang bila lagi,” kata Johnson.

Membiarkan virus itu pergi, dan mencapai imuniti kelompok lebih cepat daripada terlambat, adalah pendekatan yang dipertimbangkan oleh Britain pada awal pandemik Mac 2020, sebelum vaksin berjaya dikembangkan.

Media United Kingdom (UK) menyifatkan perjudian Johnson itu sebagai satu ‘ledakan besar’ atau ‘the big bang’ pembukaan semula.

Namun, apa yang akan berlaku ketika ‘gelombang keluar’ itu tidak diketahui.

Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid memberitahu England perlu bersedia menampung 100,000 jangkitan baharu sehari, tiga kali ganda daripada jumlah sekarang, tetapi dengan kes serius yang jauh lebih rendah daripada gelombang sebelumnya susulan keberkesanan vaksin.

Katanya sektor ekonomi perlu dibuka sepenuhnya dan sekatan yang tidak berkesudahan itu merugikan pelajar sekolah dan kesihatan mental.

Tetapi walaupun dengan menjadi salah satu negara terbaik dalam kempen vaksinasinya, sepertiga daripada 67 juta penduduknya tetap rentan terhadap virus tersebut, kerana belum divaksin sepenuhnya.

Pembukaan semula negara itu bakal menjadi ‘kolam besar’ kepada Covid-19, terutamanya varian Delta yang sangat mudah menular dan pertama kali dikesan di India, yang kini mendominasi UK.

Para saintis Britain tidak begitu pasti apa yang akan berlaku dalam ‘gelombang keluar’, kerana mereka tidak tahu bagaimana tingkah laku masyarakat pada Isnin ini.

Kes baharu pasti akan meningkat, tetapi tidak pasti secara perlahan atau mendadak dan mereka akan memantau pergerakan harian penduduk melalui data Google, kamera litar tertutup dan tinjauan harian.

Pemboleh ubah terbesar adalah apa yang dilakukan oleh orang ramai. Adakah semua orang ‘gila dan berpesta’ mulai Isnin, soal Profesor Populasi dan Penyakit di University of Warwick, Matt Keeling.

Atau adakah dengan langkah Johnson itu Isnin ini menjadikan penduduk Britain lebih berhati-hati dan beransur-ansur keluar daripada sekatan, memilih untuk memakai pelitup muka pada waktu tertentu atau mengehadkan pertemuan dengan kenalan?

Ini sekali gus akan memberi peluang kepada kerajaan untuk memperbanyakkan pemberian vaksin.

“Orang ramai akan memutuskan gelombang apa yang kita ada, memuncak atau mendatar,” kata Keeling.

Ketua Pegawai Kesihatan England, Chris Whitty berkata ‘gelombang keluar’ itu akan tetap berlaku walau dalam keadaan apa sekali pun dan semuanya bergantung kepada tingkah laku awam. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR