Britain rancang mansuh kuarantin

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mencadangkan undang-undang mewajibkan orang ramai di England yang dijangkiti Covid-19 mengasingkan diri, ditarik balik dalam beberapa minggu akan datang, sekali gus menamatkan semua sekatan domestik wabak itu.

“Dengan syarat trend semasa yang menggalakkan dalam data berterusan. Pada jangkaan saya kita akan dapat menamatkan sekatan domestik terakhir – termasuk keperluan undang-undang untuk mengasingkan diri jika diuji positif – sebulan lebih awal,” kata Johnson kepada Parlimen.

Beliau bercadang membentangkan rancangannya untuk ‘hidup dengan virus’ apabila Parlimen kembali bersidang pada 21 Februari ini.

Kerajaan Konservatif Johnson menggugurkan kebanyakan sekatan Covid-19 yang masih ada pada bulan lalu.

Pelitup muka tidak lagi wajib di mana-mana tempat di England, kecuali di rangkaian pengangkutan awam London, manakala ‘pasport virus’ untuk masuk ke kelab malam dan acara berskala besar telah dibatalkan.

United Kingdom telah menyaksikan penurunan dalam kedua-dua jangkitan baharu dan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital sejak awal Januari, apabila varian Omikron yang sangat mudah menular menyebabkan beban kes harian kepada lebih 200,000 sehari.

Jangkitan semasa purata jangkitan adalah sekitar 64,000 setiap hari, paling rendah direkodkan sejak pertengahan Disember tahun lalu.

Pegawai Britain berkata kerajaan merancang untuk beralih daripada sekatan undang-undang kepada langkah nasihat dan merawat Covid-19 seperti selesema kerana ia menjadi endemik di negara itu.

Britain masih mempunyai angka kematian kedua tertinggi akibat virus di Eropah selepas Russia, dengan lebih 159,000 kematian. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR