Britain pendekkan tempoh kuarantin kepada tujuh hari

Kerajaan Britain memendekkan tempoh kuarantin Covid-19 kepada tujuh hari berbanding 10 hari sebelum ini, mulai hari ini, bagi penduduk England yang negatif dalam ujian saringan dua hari berturut-turut.

Ketika varian Omicron merebak dengan pantas di Britain dan merekodkan kes baharu sepanjang minggu lalu, banyak industri bergelut dengan kekurangan kakitangan, termasuk hospital yang telah memberi amaran mengenai risiko terhadap keselamatan pesakit.

Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) berkata analisisnya mencadangkan tempoh kuarantin tujuh hari dalam ujian negatif mempunyai kesan perlindungan yang hampir sama seperti tempoh pengasingan 10 hari tanpa ujian.

“Kami mahu mengurangkan gangguan Covid-19 terhadap kehidupan seharian orang ramai,” kata Setiausaha Kesihatan Sajid Javid dalam satu kenyataan.

Ujian saringan pantas, yang disediakan secara percuma oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain, boleh dilakukan sendiri oleh orang ramai di rumah dan memberikan keputusan dalam masa 15 hingga 30 minit.

Mereka yang menerima keputusan negatif pada hari keenam dan ketujuh tempoh kuarantin diri, dengan ujian diambil dalam sela masa 24 jam, tidak lagi perlu menjalani kuarantin selama 10 hari, kata kerajaan.

UKHSA menasihatkan mereka yang selesai menjalani kuarantin selepas tujuh hari mengehadkan hubungan dengan orang lain di ruang yang sesak atau kurang udara, bekerja dari rumah dan meminimumkan hubungan dengan mereka yang paling terdedah kepada Covid-19.

“Pendekatan baharu itu mencerminkan bukti terkini tentang berapa lama virus itu menular, dan menyokong perkhidmatan awam serta rantaian bekalan yang penting sepanjang musim sejuk, sambil masih mengehadkan penyebaran virus itu,” kata UKHSA.

Setakat ini, data kerajaan UK menunjukkan 14 pesakit varian Omicron meninggal dunia, manakala 129 lagi masih dirawat di hospital.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson pada Selasa berkata beliau tidak akan memperkenalkan sekatan baharu Covid-19 sebelum Krismas, tetapi keadaan masih sangat sukar dan kerajaan mungkin perlu bertindak selepas itu.

Keputusan selanjutnya akan bergantung pada data yang diterima, katanya.

“Seperti kata perdana menteri, keputusan itu dipertimbangkan dengan baik. Seluruh kerajaan meneliti semua data setiap hari dan kami menyimpannya dengan teliti,” kata Javid.

“Jika sekatan baharu diperlukan, sekiranya data menunjukkan bahawa ia diperlukan, sudah tentu kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak.”

UKHSA dijangka menerbitkan lebih banyak data mengenai Omicron sebelum Krismas. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR