Britain ikrar pertahan kedaulatan Ukraine, bekal senjata kepada Kyiv

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berikrar untuk menegakkan kedaulatan Ukraine dalam lawatan ke Kyiv pada Selasa sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik Barat untuk menghentikan kemungkinan pencerobohan Russia.

Ia menyusul tatkala Amerika Syarikat (AS) mengadakan perbincangan secara aktif dengan sekutunya mengenai kemungkinan menempatkan tentera AS ke sayap timur Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), berasingan daripada kira-kira 8,500 tentera yang telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga minggu lalu.

Russia, yang merampas Crimea dari Ukraine pada 2014 dan menyokong kumpulan militan di timur negara itu, menuntut jaminan keselamatan termasuk janji NATO tidak akan sekali-kali menerima Kyiv.

AS berkata terdapat sedikit peluang untuk Ukraine menyertai NATO tidak lama lagi tetapi negara itu harus menentukan masa depannya sendiri, ketika Washington dan Moscow bertelagah mengenai aturan keselamatan pasca Perang Dingin di Eropah dan kebimbangan mengenai bekalan tenaga.

Terdahulu, ‘perang mulut’ berlaku antara Washington dan Moscow pada sidang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin berhubung penempatan tentera Russia di sempadan Ukraine, dengan masing-masing melabelkan satu sama lain sebagai provokatif.

Johnson, yang berdepan gesaan meletak jawatan susulan ‘pesta alkohol’ di pejabat dan kediamannya, akan bertemu Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy ketika beliau memberi tumpuan terhadap peranan Britain pada peringkat dunia.

“Kami menggesa Rusaia untuk berundur dan terlibat dalam dialog bagi mencari resolusi diplomatik dan mengelakkan pertumpahan darah lebih lanjut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum ketibaannya.

“Sebagai rakan dan rakan kongsi demokratik, UK akan terus menegakkan kedaulatan Ukraine dalam menghadapi pihak yang cuba memusnahkannya,” katanya.

Johnson dijadual berbincang dengan Zelenskiy berhubung strategi sokongan Britain ditawar kepada Ukraine.

London telah membekalkan senjata pertahanan dan kakitangan latihan ke Ukraine, walaupun menterinya mengatakan bahawa anggota tentera mungkin tidak akan ditempatkan di negara itu.

Pada Isnin, AS dan Britain berkata mereka bersedia untuk menghukum golongan elit Russia yang rapat dengan Presiden Vladimir Putin dengan pembekuan aset dan larangan perjalanan jika Russia menceroboh Ukraine.

Poland pula berkata negara itu menawarkan berpuluh-puluh ribu peluru kepada Ukraine, dan sedang menunggu jawapan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR