
Anak kepada imigran Ghana Kwasi Kwarteng dilantik sebagai Menteri Kewangan Britain dalam Kabinet Liz Truss. - Gambar 10 Downing Street
Perdana Menteri Britain Liz Truss memberi ganjaran kepada sekutu rapat Kwasi Kwarteng dan Therese Coffey dengan jawatan tertinggi dalam Kabinet, ketika beliau menyingkirkan beberapa penyokong Rishi Sunak yang terkenal ketika rombakan besar-besaran kerajaan baharu United Kingdom (UK).
Truss melantik Kwarteng sebagai Menteri Kewangan dan Coffey sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Setiausaha Kesihatan, selain melantik James Cleverly sebagai Setiausaha Luar, menggantikan kerusi disandangnya ketika dalam Kabinet Boris Johnson.
Kwarteng yang juga anak kepada imigran Ghana, adalah individu kulit hitam pertama memegang jawatan Menteri Kewangan UK, dengan tumpuan segeranya ialah menangani dan mengatasi keadaan ekonomi negara yang begitu terjejas ketika ini.
Cleverly pula adalah anggota pasukan simpanan tentera yang pernah berkhidmat bawah Truss di pejabat hal ehwal luar negara
Bekas Peguam Negara Suella Braverman pula dilantik sebagai Setiausaha Dalam Negeri. Ibu bapa Braverman mempunyai asal usul India dari Kenya dan Mauritius.
Dengan pelantikan itu bermakna buat pertama kali dalam sejarah Britain tiada satu pun jawatan tinggi negara dipegang oleh orang kulit putih.
Sementara itu, Jacob Rees-Mogg dilantik sebagai Setiausaha Perniagaan; Kemi Badenoch sebagai Setiausaha Perdagangan Antarabangsa; dan Kit Malthouse sebagai Setiausaha Pendidikan. Michael Ellis dilantik sebagai Peguam Negara.
Bagaimanapun, Truss mula-mula menghantar sekutu utama Sunak ke bangku belakang, termasuk Dominic Raab, bekas TPM, Grant Shapps, George Eustice dan Steve Barclay.
Dalam ucapannya di Downing Street, Truss yang juga Perdana Menteri wanita yang ketiga di Britain, menekankan bahawa negara ini akan ‘menempuhi dan mengatasi badai’ cabaran inflasi dua digit serta lonjakan harga bekalan tenaga.
“Saya akan mengambil tindakan, minggu ini, bagi menangani isu harga tenaga dan menjamin bekalannya untuk keperluan masa depan.
“Sekuat mana sekalipun ‘badai’ yang melanda, saya tahu rakyat Britain lebih kuat,” katanya sambil menggariskan kepentingan ekonomi, bekalan tenaga dan kesihatan sebagai keutamaan fokus pentadbiran beliau.