Britain catat 49,156 kes Covid-19 semalam, tertinggi dalam 3 bulan

Britain semalam merekodkan jumlah kes harian Covid-19 tertinggi baharu dalam tempoh tiga bulan, dengan yang terakhir pernah dicatat sebelum perintah sekatan dan penutupan ditarik balik pada musim panas.

Jumlah jangkitan di Britain dilaporkan lebih tinggi berbanding negera-negara di timur Eropah dan meningkat 60 peratus dalam tempoh sebulan.

Data kerajaan menunjukkan sebanyak 49,156 kes baharu dilaporkan semalam, meningkat daripada 45,140 yang direkodkan pada Ahad, menjadikannya jumlah tertinggi sejak 17 Julai lalu.

Britain menarik balik semua sekatan dan protokol kesihatan untuk mengekang penularan Covid-19 pada 19 Julai lalu, dengan membenarkan pub dan restoran beroperasi penuh, selain tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Jumlah kes juga terus meningkat sejak sekolah kembali daripada cuti musim panas bulan lalu dengan kajian menunjukkan kes membabitkan kanak-kanak bertambah, walaupun terdapat penurunan dalam kalangan orang dewasa.

Bagaimanapun, dengan lebih dua pertiga penduduk dewasanya telah lengkap divaksin,Britain berharap jumlah kematian dan kemasukan ke hospital dapat dikurangkan.

Keseluruhannya Britain menjadi antara negara yang mencatat jumlah kematian tertinggi akibat Covid-19 membabitkan sebanyak 138,629 kes. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR