Boris Johnson jawab tidak ketika diasak supaya letak jawatan PM

January 20, 2022 · Dunia

Boris Johnson menolak gesaan pembangkang dan beberapa Ahli Parlimen (MP) partinya sendiri, Konservatif, supaya meletak jawatan, sebaliknya terus berjuang untuk menyelamatkan jawatan Perdana Menteri (PM), tatkala kritikan terhadapnya memuncak.

Pada 2019 lalu, Johnson memperoleh majoriti terbesar daripada partinya dalam tempoh lebih 30 tahun, kini berjuang untuk terus mengekalkan kuasa setelah beberapa siri pendedahan berkaitan parti yang diadakan dikediamannya di Downing Street ketika negara itu melaksanakan ‘lockdown’ akibat Covid-19.

Johnson telah berulang kali meminta maaf bagi beberapa pihak yang terlibat dalam acara itu, sambil menjelaskan beliau tidak pasti berapa jumlah individu yang hadir.

Bagaimanapun, beliau menghadiri parti yang dikatakannya sebagai ‘acara kerja’ pada 20 Mei 2020 yang mana kakitangan telah diberitahu untuk “membawa minuman keras mereka sendiri”.

Johnson pada Selasa berkata tiada siapa yang memberitahunya bahawa perhimpunan itu bertentangan dengan peraturan Covid-19 yang dikenakan ketika itu.

“Saya mengharapkan pemimpin saya (Johnson) memikul tanggungjawab susulan tindakan yang mereka lalukan,” kata MP Konservatif yang menyokong Britain keluar daripada Kesatuan Eropah, David Davis kepada Parlimen.

David memetik kenyataan MP Konservatif Leo Amery kepada Neville Chamberlain yang menjadi Perdana Menteri Britain pada 1937 hingga 1940 berhubung cara Chamberlain mengendalikan perang pada 1940: “Anda telah duduk di sana terlalu lama demi kebaikan yang telah anda lakukan. Atas nama Tuhan, pergi.”

Ditanya secara terus oleh MP pembangkang sama ada beliau akan meletak jawatan, Johnson berkata “tidak”.

Menggulingkan Johnson akan menyebabkan United Kingdom dalam keadaan tidak menentu selama berbulan-bulan, sama seperti Barat menangani krisis Ukraine, selain akan bergelut dengan gelombang inflasi yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19, dengan inflasi Britain meningkat ke paras tertinggi dalam hampir 30 tahun.

Untuk membolehkan Johnson dicabar, 54 daripada 360 Ahli Parlimen Konservatif di Parlimen mesti menulis surat tidak percaya terhadapnya dan diserahkan kepada pengerusi Jawatankuasa 1922 parti itu.

Jawatankuasa 1922, juga dikenali sebagai “the 22”, ialah jawatankuasa khas MP Konservatif yang bermesyuarat setiap minggu apabila Dewan Rakyat bersidang. Biasanya ia dipengerusikan MP paling kanan, dipilih oleh ahli jawatankuasa dan mempunyai pengaruh besar dalam Parlimen.

Berdasarkan analisis akhbar The Times, seramai 58 MP Konservatif sekarang ini telah mengkritik Johnson secara terbuka.

Saingan utama dalam Parti Konservatif termasuk Canselor Perbendaharaan Rishi Sunak, 41, dan Setiausaha Luar Liz Truss, 46. – Agensi

Berita berkaitan
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024· Politik
Tengku Zafrul letak jawatan bendahari UMNO Selangor, tak sehaluan
April 1, 2024· Politik
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Popular
Aktiviti Ramadan kembali hidup di Masjidil Haram, Masjid Nabawi
April 2, 2022
Singapura beri amaran kesan buruk, eraksi berpanjangan kopi Pejuang
May 26, 2022
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok