Bilionair Russia mula rasa bahang sekatan Barat, kerugian AS$83 bilion

Sejak empat hari lalu beberapa negara Barat mula mengenakan sekatan ke atas bank dan individu kaya serta berpengaruh Russia, susulan tindakan Moscow menyerang dan menceroboh Ukraine, sebuah negara bekas Soviet Union enam hari lalu.

Kini, beberapa bilionair Russia mula merasakan bahang daripada sekatan Barat yang dikenakan selepas Presiden Vladimir Putin membuat keputusan untuk menyerang Ukraine.

Individu-individu kaya di negara itu, yang tergolong di antara 500 individu terkaya di dunia, kini telah kehilangan AS$83 bilion tahun ini, menurut Indeks Billionaires Bloomberg.

Penurunan pasaran saham secara melampau menyebabkan bank pusat Russia menghentikan dagangan tempatan pada Isnin (28 Februari 2022), sekali gus bermakna banyak saham syarikat mengalami keruntuhan.

Saham syarikat Russia yang tersenarai di London, daripada pengeluar gas Novatek kepada pembuat keluli Severstal, jatuh lebih 50 peratus pada Isnin selepas Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), Britain dan negara lain mengenakan sekatan.

Berlegar-legar di langit dengan jet Boeing, Gulfstream dan Bombardier, bilionair Russia kini menjadi lebih sengsara, setelah selepas EU menyertai Britain pada Ahad, mengharamkan pesawat persendirian milik Russia memasuki ruang udaranya.

Pembelian hartanah mewah di London juga menjadi sukar dengan Britain mengenakan undang-undang segera yang memerlukan pemilik hartanah asing mendedahkan identiti mereka, dan bukannya bersembunyi di sebalik syarikat induk.

Kapal layar mewah yang dimiliki oleh bilionair Russia juga sedang bergerak ketika AS dan sekutunya menyediakan sekatan lanjut ke atas harta mereka.

Data yang disemak oleh CNBC menunjukkan sekurang-kurangnya empat daripada kapal layar mewah milik bilionair Russia belayar ke Montenegro dan Maldives. Maldives tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan AS, kata laporan itu.

EU pada Isnin mengguna pakai sekatan ke atas beberapa bilionair Russia, termasuk hartawan logam Alisher Usmanov, pemilik Kumpulan Alfa Mikhail Fridman dan Petr Aven, dan jutawan keluli Alexei Mordashov.

Langkah itu juga memberi kesan kepada jurucakap Putin, Dmitry Peskov, tokoh media kerajaan dan pegawai kanan tentera.

Digabungkan dengan sekatan yang sedia ada di AS dan Britain, pusingan terbaharu penalti yang disasarkan menunjukkan bahawa kerajaan mungkin melihat golongan elit kaya Russia sebagai satu lagi titik tekanan utama ketika Putin meneruskan pencerobohannya ke atas Ukraine yang masuk hari keenam.

Ekonomi Russia yang bernilai AS$1.5 trilion sudah pun terjejas akibat sekatan yang menyasarkan bank-bank utama dan mungkin menghalang Putin daripada mengakses sebahagian besar lebih AS$640 bilion rizab bank pusat. Sekatan tersebut telah menjejaskan pasaran negara dan memberi kesan ke atas beberapa kekayaan terbesar Russia.

Pengerusi Lukoil, Vagit Alekperov menyaksikan nilai bersihnya merosot kira-kira AS$13 bilion tahun ini, penurunan terbesar dalam kalangan 22 bilionair Russia dalam indeks kekayaan Bloomberg. Saham syarikat minyak yang didagangkan di London itu menjunam 62.8 peratus pada Isnin.

Gennady Timchenko, salah seorang individu kaya dan berpengaruh dan pertama yang disekat oleh Britain, kehilangan hampir separuh daripada nilai bersihnya tahun ini, dengan kekayaannya menjunam AS$10.6 bilion.

Rakan pemegang saham Novatek Leonid Mikhelson pula menyaksikan AS$10.2 bilion lenyap daripada kekayaannya pada 2022.

Krisis Ukraine juga telah memberi kesan kepada Roman Abramovich, salah seorang jutawan berprofil tinggi, dengan aset termasuk pegangan dalam pembuat keluli Evraz dan Chelsea Football Club.

Abramovich menyerahkan kawalan Chelsea FC kepada pemegang amanah yayasan amal kelab bola sepak Liga Perdana itu pada Sabtu. Seorang jurucakap berkata dia juga telah didekati oleh Ukraine untuk membantu menjalin perdamaian dengan Russia.

Selain daripada kelab bola sepak, yang mungkin bernilai lebih daripada AS$2 bilion, banyak asetnya yang lain juga berada di luar Russia atau disenaraikan di bursa asing.

Pegangannya dalam Evraz yang disenaraikan di London, begitu juga pegangan dalam firma tenaga Velocys dan AFC Energy, manakala jawatannya dalam syarikat teknologi Yandex disenaraikan di AS.

Abramovich, 55, yang tidak berada dalam senarai sekatan Britain, mempunyai nilai bersih kira-kira AS$13.9 bilion, turun kira-kira AS$5 bilion tahun ini. – Bloomberg.

BERITA BERKAIT
POPULAR