
Ketika terjatuh, Biden sempat menahan dirinya dengan tangan sebelum dibantu tiga pembantunya dan berjalan semula tanpa sebarang bantuan. Gambar AFP
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilaporkan jatuh tersungkur sebaik selesai menyerahkan skrol terakhir pada majlis konvokesyen graduan diploma di Akademi Tentera Udara AS, pada Khamis.
Biden, 80 tahun dipercayai tersadung bagaimanapun bangun dengan pantas lalu berjalan menuju ke kerusinya.
Ketika terjatuh, Biden sempat menahan dirinya dengan tangan sebelum dibantu tiga pembantunya dan berjalan semula tanpa sebarang bantuan.
Kejadian itu berlaku selepas Biden berucap pada majlis perasmian yang intipatinya memberi amaran kepada graduan berkaitan situasi yang bakal dihadapi mereka ketika memulakan perkhidmatan dalam keadaan dunia tidak stabil selain berdepan cabaran dari Russia dan China.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi White House, Ben LaBolt melalui akaun Twitter berkata Biden dalam keadaan baik.
“Ada beg pasir di atas pentas ketika Presiden bersalaman,” jelasnya lagi.
Biden merupakan pemimpin tertua menerajui Pejabat Oval akan bertanding pada pemilihan semula tahun hadapan.
Doktor mengisytiharkan Biden dalam keadaan sihat dan cergas untuk berkhidmat selepas melalui pemeriksaan fizikal, pada Februari lalu.
Biden juga dimaklumkan tidak mengambil minuman beralkohol atau produk tembakau, selain bersenam sekurang-kurangnya lima kali seminggu.
Dalam tinjauan yang dilakukan menunjukkan rakyat AS bimbang republik itu ditadbir presiden berusia 75 tahun ke atas.
Pesaingnya yang juga bekas Presiden, Donald Trump bakal memasuki usia 77 tahun, pada bulan ini. – REUTERS