Berebut beli susu cap beruang konon boleh lawan Covid-19

Gambar dirakam dari video menunjukkan orang ramai berebut-rebut membeli susu cap beruang di sebuah pasar raya di Tanggeran, Banten, Indonesia hari ini yang didakwa mampu mencegah jangkitan virus Covid-19.

Harga susu kotak cap beruang keluaran Nestle di Indonesia naik berkali ganda selepas dikatakan mampu meningkatkan antibodi melawan virus Covid-19.

Klip video menunjukkan orang ramai berebut-rebut membeli berkotak-kotak susu itu juga tular di media sosial, selepas ada pihak yang mendakwa susu steril ‘bear brand’ itu meningkatkan imun badan dan mencegah jangkitan Covid-19.

Dakwaan dan video tular itu muncul tatkala negara keempat paling ramai peduduk di dunia itu sedang berdepan gelombang kedua penularan Covid-19 yang lebih parah sehingga semakin menjejaskan sistem kesihatan di seluruh republik itu.

Sejak susu itu menjadi viral, penjual telah menaikkan harganya daripada 9,000 rupiah (RM2.59) hingga mencecah 50,000 rupia (RM14.37).

Nestle mengatakan pihaknya tidak bertanggungjawab dengan kenaikan harga itu tetapi berjanji akan memastikan bekalan yang mencukupi di pasaran supaya tiada monopoli harga dilakukan.

Namun, Persatuan Perubatan Indonesia (IDI) berpendapat susu itu tidak dapat membunuh atau mencegah virus Covid-19, sebaliknya memberi manfaat pemakanan yang sama seperti susu lain.

Ketua Pasukan Petugas IDI Covid-19, Zubairi Djoerban berkata: “Teruskan jika anda ingin minum susu Bear Brand atau susu tepung. Tidak ada yang lebih baik daripada yang lain kecuali susu pekat manis yang rendah protein.”

Beliau bagaimanapun tetap menegaskan pemakanan lengkap adalah lebih baik dan bukan hanya minum susu tetapi dengan memakan sayur-sayuran, buah-buahan, karbohidrat, vitamin dan mineral.

POPULAR