
Rejim Zionis Israel mendakwa peraturan baharu itu bertujuan menjaga keselamatan. - Gambar Getty
Warga asing mesti memberitahu Kementerian Pertahanan rejim Zionis-Israel jika mereka jatuh cinta dengan seorang warga Palestin di Tebing Barat yang mereka duduki secara haram, mengikut peraturan baharu.
Jika mereka berkahwin, mereka akan dikehendaki keluar selepas 27 bulan untuk tempoh bertenang sekurang-kurangnya setengah tahun.
Ia adalah sebahagian daripada peraturan ketat dikenakan terhadap warga asing yang tinggal di atau ingin melawat, Tebing Barat, lapor media tempatan Palestin.
Rakyat Palestin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Israel menuduh rejim Zionis “meningkatkan sekatan ke tahap yang baharu”.
Peraturan baharu itu akan berkuat kuasa hari ini (5 September 2022), menurut laporan BBC.
Peraturan yang dibentangkan dalam dokumen panjang, termasuk tuntutan supaya warga asing memaklumkan kepada pihak berkuasa Israel dalam tempoh 30 hari selepas memulakan hubungan dengan pemegang kad pengenalan Palestin.
Sekatan baharu ke atas universiti Palestin, termasuk kuota untuk 150 visa pelajar dan 100 pensyarah asing, turut dikenakan, manakala tiada had sedemikian dalam visa Israel.
Ahli perniagaan dan organisasi bantuan berkata mereka juga akan terjejas teruk. Peraturan menetapkan had yang ketat bagi tempoh visa dan lanjutan visa, dalam banyak kes menghalang orang ramai daripada bekerja atau menjadi sukarelawan di Tebing Barat untuk tempoh lebih lama.
“Ini suatu langkah kejuruteraan demografi masyarakat Palestin dan mengasingkan rakyat Palestin daripada dunia luar,” kata Jessica Montell, pengarah eksekutif NGO Israel HaMoked, yang telah membuat petisyen kepada Mahkamah Tinggi Israel terhadap peraturan itu.
“Mereka menjadikannya lebih sukar bagi orang ramai untuk datang dan bekerja di institusi Palestin, menjadi sukarelawan, melabur, mengajar dan belajar.”
Israel menawan Tebing Barat dari Jordan dalam Perang Timur Tengah 1967. Hari ini, Cogat, sebuah unit Kementerian Pertahanan Israel, bertanggungjawab terhadap pentadbiran pendudukannya di wilayah Palestin.
Perintah Cogat setebal 97 muka surat baharu itu bertajuk Prosedur untuk kemasukan dan kediaman warga asing di kawasan Yudea dan Samaria – nama dalam kitab mereka yang digunakan Israel untuk Tebing Barat. Ia pertama kali diterbitkan pada Februari, tetapi pengenalannya telah ditangguhkan.
Dokumen itu menetapkan untuk “menentukan tahap kuasa dan cara memproses permohonan daripada warga asing yang ingin memasuki kawasan Yudea dan Samaria”.
Ia memetik perjanjian damai sementara yang dicapai pada 1990-an, yang memerlukan kelulusan Israel untuk memberikan kediaman kepada pasangan dan anak-anak penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza, dan meluluskan permit pelawat.
Peraturan baharu itu tidak terpakai kepada mereka yang melawat Israel serta bahagian Tebing Barat yang dikuasai Palestin, mahupun penempatan Yahudi. Dalam kes sedemikian, kemasukan melibatkan pihak berkuasa imigresen Israel.
Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) – payung yang mewakili rakyat Palestin – berkata rejim Zionis Israel memperkenalkan “peraturan apartheid yang mengenakan realiti satu negara dan dua sistem berbeza”.
Prosedur baharu itu hanya akan “memformalkan dan memburukkan lagi banyak sekatan sedia ada” dan “akan memaksa ramai keluarga berpindah atau tinggal di luar negara untuk mengekalkan perpaduan keluarga mereka.”
Sementara itu, Suruhanjaya Eropah berkata ia telah menyatakan kebimbangan mengenai sekatan ke atas pelajar asing dan ahli akademik di universiti Palestin ke “peringkat tertinggi” pihak berkuasa Israel.