Belanda laksana semula ‘lockdown’

Belanda menguatkuasakan semula perintah berkurung dan ‘lockdown’ separuh dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 yang kini mengancam negara-negara Eropah.

Kerajaan negara itu mengarahkan restoran dan kedai ditutup lebih awal dan melarang penonton hadir dalam acara sukan utama mulai hari ini.

Perdana Menteri sementara Belanda, Mark Rutte berkata, langkah drastik perlu diambil selama beberapa minggu bagi menangani krisis itu kerana Covid-19 mula menular semula di seluruh negara, membabitkan semua sektor tanpa mengira usia.

Katanya sejak beberapa kawalan pergerakan dimansuhkan dua bulan lalu, sebanyak 16,000 kes positif direkodkan pada Khamis dan Jumaat.

“Kita amat beruntung kerana majoriti rakyat sudah divaksinasi. Jika tidak, kesan terhadap sistem kesihatan tidak dapat digambarkan,” katanya.

Berdasarkan perintah itu, bar, restoran, kafe dan pasar raya diarahkan menghentikan operasinya bermula jam 8 malam sepanjang tempoh tiga minggu itu manakala kedai bukan keperluan penting pada jam 6 petang.

Pelawat di rumah pula dihadkan kepada empat orang manakala rakyat dinasihatkan supaya bekerja dari rumah kecuali ada keperluan mendesak.

Acara awam turut dibatalkan manakala perlawanan bola sepak antara Belanda dan Norway bagi kelayakan Piala Dunia terpaksa diadakan secara tertutup tetapi sekolah dibenarkan beroperasi.

Di Austria, kerajaannya berhasrat melaksanakan perintah berkurung terhadap rakyat yang belum menerima vaksin atau mereka yang sedang pulih daripada jangkitan terbabit.

Bagaimanapun beberapa negeri termasuk Salzburg yang merekodkan kadar kes terburuk sudah melaksanakan perintah berkurung terhadap mereka yang belum divaksin mulai Isnin lalu.

Pusat Kawalan Penyakit Eropah menerusi penilaian risiko mingguannya menyenaraikan Belgium, Bulgaria, Croatia, Republik Czech, Estonia, Greece, Hungary, Belanda, Poland dan Slovenia sebagai negara dalam kategori membimbangkan akibat penularan Covid-19. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR