Bekas samseng Datuk Bandar baharu New York

Bekas anggota polis, Eric Adams dipilih sebagai Datuk Bandar New York baharu semalam, sekali gus menjadi rakyat Amerika Syarikat (AS) keturunan Afrika kedua menjadi pemimpin bandar terbesar di negara itu.

Pengumuman pemilihan calon Demokrat berumur 61 tahun itu dibuat sejurus keputusan pengundian ditutup pada jam 9 malam tadi.

Adams mengatasi pesaingnya dari Republikan yang juga merupaka pejuang jenayah sukarela, Curtis Sliwa.

Keputusan awal tidak rasmi dikeluarkan oleh Lembaga Pilihan Raya New York menganggarkan Adams sudah memenangi undian dengan lebih 70 peratus undi.

Adams dilahirkan pada tahun 1960, di dalam keluarga besar golongan pertengahan di kejiranan Queens, serta ibunya bekerja sebagai tukang cuci manakala ayahnya pemotong daging.

Pada usia remaja dan ketika berumur 15 tahun, Adams pernah menyertai kumpulan samseng dan beliau pernah dibelasah oleh dua pegawai di Jabatan Polis New York (NYPD) atas kesalahan menceroboh.

Sejak dari kejadian itu, Adams terdorong untuk menyertai kumpulan NYPD pada tahun 1980-an dan berkhidmat di jabatan itu selama 22 tahun serta dilantik menjadi kapten.

Sebelum ini, jawatan Datuk Bandar New York sering digambarkan sebagai pekerjaan paling sukar di AS selepas jawatan Presiden.

Adams akan mengambil alih jawatan itu dari Bill de Blasio selepas penggal kedua dan terakhirnya akan tamat, mulai 31 Disember ini.

Selain itu, apabila menyandang jawatan Datuk Bandar kepada lebih 8 juta populasi penduduk, beliau akan bertanggungjawab untuk menyelia belanjawan perbandaran terbesar AS, sistem persekolahan awam dan pasukan polis.

Adam juga akan dipertanggungjawabkan untuk mengetuai pemulihan ekonomi bandar itu selepas wabak pandemik sudah mengorbankan lebih 34,000 rakyat dan ratusan ribu perniagaan terpaksa ditutup. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR