
Bekas Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa dibenar tinggal sehingga 11 Ogos di Singapura. - Gambar Reuters
Mahkamah Agung Sri Lanka mengeluarkan notis memerintahkan bekas Presiden Gotabaya Rajapaksa, hadir ke mahkamah pada 1 Ogos untuk petisyen yang mengaitkan beliau dengan krisis ekonomi negara.
Seorang pegawai Mahkamah Agung yang enggan namanya didedahkan memberitahu bahawa notis itu dikeluarkan pada Rabu (27 Julai) berhubung sekurang-kurangnya satu petisyen yang difailkan terhadap ahli politik dan penjawat awam, mendakwa mereka bertanggungjawab terhadap krisis ekonomi.
Salah seorang responden ialah Rajapaksa, yang melarikan diri dari negara itu awal bulan ini dengan menaiki pesawat tentera di tengah-tengah protes besar-besaran menuntut beliau meletak jawatan.
Rajapaksa kini berada di Singapura, di mana dia telah diberikan lanjutan 14 hari pas lawatan jangka pendeknya (STVP). Difahamkan dia boleh tinggal di negara ini sehingga 11 Ogos berikutan pelanjutan itu.
Bekas presiden itu meninggalkan Sri Lanka pada 13 Julai, selepas protes besar-besaran selama berbulan-bulan yang menyalahkan kerajaannya atas krisis ekonomi terburuk negara itu sejak kemerdekaannya pada 1948.
Rakyat Sri Lanka semakin tertekan dengan kos sara hidup yang melambung tinggi, didorong oleh inflasi yang meningkat dan kekurangan pertukaran asing.
Negara itu secara rasmi gagal membayar faedah selepas tidak mampu membuat bayaran faedah hutang pada Mei. Mata wang asingnya yang semakin berkurangan telah melumpuhkan ekonomi, mengganggu import dan menyebabkan kekurangan makanan, bahan api serta keperluan lain.
Rajapaksa menyerahkan surat peletakan jawatannya dari Singapura. Beliau digantikan oleh bekas Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe, yang dipilih oleh ahli Parlimen minggu lalu.
Berikutan peletakan jawatan Rajapaksa, ketegangan di jalanan mulai reda. Bagaimanapun, gelombang protes baharu boleh melanda negara pulau itu sekali lagi jika dia memutuskan untuk kembali.
“Saya sedar bahawa dia akan kembali ke negara ini,” kata jurucakap Kabinet Bandula Gunawardena pada sidang media pada Selasa.
“Jika dia kembali, pihak berkuasa akan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan tiada perkara buruk berlaku kepada bekas presiden.”
Jurucakap itu menyatakan bahawa Rajapaksa tidak “bersembunyi” di Singapura.
“Dia ada di sana dengan visa seperti orang lain,” tambahnya. – Agensi