Bekas Presiden Maldives Mohamed Nasheed cedera dalam letupan

Mohamed Nasheed cedera dalam letupan bom berhampiran keretanya

Bekas Presiden dan Speaker Parlimen Maldives Mohamed Nasheed tercedera dalam letupan bom berhampiran keretanya, lapor media tempatan pada Khamis.

“Berikutan letupan di Neeloafaru Magu di Male, Ketua Speaker Parlimen Mohamed Nasheed mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital ADK,” kata Polis Maldives dalam satu kenyataan di Twitter.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak polis ketika ini sedang berada di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan dan menasihati orang ramai untuk tidak pergi ke kawasan itu buat sementara waktu ini.

Nasheed merupakan seorang ahli politikdan pengasas Parti Demokratik Maldives, yang berkhidmat selaku Presiden keempat Maldives mulai tahun 2008 hingga 2012.

Beliau mengalahkan Maumoon Abdul Gayoom yang sekian lama menjadi Presiden dalam pusingan kedua pilihan raya Oktober 2008, lalu mengangkat sumpah selaku Presiden pada 11 November 2008.

Beliau meletak jawatan pada 7 Februari 2012 ekoran tunjuk perasaan orang awam yang berlarutan. Beliau kemudian mendakwa kejadian itu satu rampasan kuasa, menyebut dengan jelas dia dipaksa meletakkan jawatan “selepas diacukan senapang” oleh pegawai polis dan tentera.

POPULAR