
Sam Lim (baju biru) memenangi kerusi Parlimen Tangney di Perth dalam Pilihan Raya Umum Australia.
Seorang anak kelahiran Johor berjaya memenangi kerusi Parlimen Tangney di Perth dalam Pilihan Raya Umum Australia yang berlangsung baru-baru ini.
Sam Lim, bekas pegawai polis Malaysia membuat kejutan apabila menewaskan Ben Morton dari parti Liberal dengan margin 9.5 peratus dalam keputusan yang dianggap mustahil berlaku di barat Australia.
Calon lawannya yang ditewaskan juga merupakan orang kuat bekas Perdana Menteri, Scott Morrison, daripada kerusinya di Tangney, di pinggir bandar pedalaman Perth.
Morton memenangi kerusi itu dengan margin 9.5 peratus pada 2019 dan sebagai pembantu menteri kepada Perdana Menteri, beliau adalah salah seorang teman rapat dan orang kepercayaan Morrison.
Berdasarkan keterangan di laman sesawang Parti Buruh yang dianggotai Lim, beliau adalah bekas pegawai polis di Malaysia yang berkhidmat selama dua tahun dan kemudian memilih untuk berhenti kerana gaji yang rendah.
Beliau kemudian menjadi pelatih ikan lumba-lumba di sebuah taman safari di Johor, yang terpaksa ditutup dan kesemua haiwan dilepaskan semula ke laut.
“Itu adalah tempoh terburuk dalam kerjaya saya pada waktu itu, namun kami dapat mengucapkan selamat tinggal kepada mereka (ikan lumba-lumba).
“Pada masa sama, kami gembira mereka dapat pulang ke rumah,” katanya.
Membesar dalam keluarga yang miskin tanpa bekalan elektrik atau air, Lim berkata beliau terpaksa bergelut dengan kemiskinan sepanjang 15 tahun pertama hidupnya.
Bagaimanapun, kesukaran itu membina dirinya dan mempersiapkan beliau untuk menghadapi kesusahan.
Selepas kehilangan kerja sebagai pelatih ikan lumba-lumba, Lim menceburi bidang perniagaan kecil sehingga cukup berjaya dan mampu berhijrah ke Australia bersama isteri dan tiga anaknya pada 2002, seterusnya menyertai Akademi Polis Australia Barat pada 2006.
Beliau dianugerahkan Pegawai Polis Terbaik pada 2020 keranan kerjanya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum ketika pandemik Covid-19.
“Menjadi pegawai polis adalah tugas hebat. Saya cintakan baju biru ini,” katanya yang turut fasih bertutur dalam sembilan bahasa.
Seorang lagi anak kelahiran Malaysia, Penny Wong, adalah antara lima anggota kaukus Parti Buruh yang akan menjadi barisan menteri pertama mengangkat sumpah esok selepas pilihan raya umum Australia.
Wong, yang berkelulusan undang-undang, dilahirkan di Kota Kinabalu tetapi berpindah ke Australia pada 1976 ketika berusia lapan tahun, dijangka dilantik sebagai Menteri Luar Australia.