
Penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam perhimpunan membantah kenaikan harga bahan api di Almaty, Kazakhstan, pada 5 Januari 2022. - Gambar AFP
Pihak berkuasa Kazakhstan hari ini menahan bekas Ketua Jawatankuasa Keselamatan Negara, Karim Massimov, kerana disyaki melakukan khianat dan penderhakaan.
Massimov, yang dipecat minggu ini susulan tunjuk perasaan yang tercetus di negara itu, terutama di bandar terbesarnya Almaty, ditangkap bersama beberapa pegawai kanan lain, kata jawtankuasa itu dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa itu bagaimanapun tidak menamakan mereka yang turut ditahan atau memberikan butiran lanjut.
Massimov dilaporkan sebagai sekutu rapat bekas Presiden Nursultan Nazarbayev. Beliau telah dua kali menjadi perdana menteri dan juga pernah berkhidmat sebagai ketua pentadbiran presiden di bawah Nazarbayev.
Nazarbayev, 81, adalah pemerintah paling lama di sebuah negara bekas Soviet sehingga beliau menyerahkan jawatan Presiden kepada Tokayev pada 2019.
Keluarganya dilaporkan mengekalkan pengaruh bekas presiden itu di Nur-Sultan, ibu negara Kazakhstan yang dibina khas sempena nama beliau.
Berpuluh-puluh penunjuk perasaan dan anggota keselamatan terbunuh, manakala bangunan dan pejabat kerajaan di seluruh negara itu digeledeh dan dibakar dalam keganasan terburuk dialami negara bekas republik Soviet itu sejak 30 tahun kemerdekaan.
Selepas beberapa hari keganasan, pasukan keselamatan mengawal semula kebanyakan jalan utama di Kazakhstan.
Semalam, Presiden Kassym-Jomart Tokayev berkata beliau mengarahkan pasukan keselamatan untuk “menembak tanpa amaran”, di tengah-tengah tindakan keras terhadap tunjuk perasaan antikerajaan.
Presiden juga dilaporkan berkata “20,000 penyamun” telah menyerang bandar utama Almaty, pusat tunjuk perasaan yang tercetus disebabkan kenaikan harga bahan api.