Bekalan perubatan semakin habis di Sri Lanka, krisis meruncing

Susulan krisis ekonomi yang melanda Sri Lanka, pihak hospital kini kehabisan bekalan perubatan dan tidak lagi memiliki akses untuk membeli ubat-ubatan yang diimport dari luar.

Doktor di Sri Lanka memberi amaran mereka hampir kehabisan ubat-ubatan yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan berkata krisis ekonomi dihadapi negara itu dijangka memberi kesan lebih buruk berbanding pandemik Covid-19.

Bekalan elektrik yang terputus berminggu-minggu, kekurangan bekalan makanan, bahan api dan farmaseutikal memberi kesan mudarat kepada rakyat di negara kepulauan tersebut, ia terburuk sejak kemerdekaan pada 1948.

Persatuan Perubatan Sri Lanka (SLMA) berkata semua hospital di negara itu tidak lagi mempunyai akses kepada alat perubatan yang diimport dan ubat-ubatan penting.

Beberapa fasiliti juga menggantung pembedahan rutin sejak bulan lepas kerana penggunaan anestetik yang sangat rendah, tetapi SLMA berkata prosedur kecemasan mungkin tidak dapat dilakukan tidak lama lagi.

“Kami dipaksa untuk membuat pilihan yang sangat sukar. Kami perlu memutuskan siapa yang boleh mendapat rawatan dan siapa yang tidak boleh,” kata kumpulan itu.

Kumpulan tersebut juga sudah menghantar surat kepada Presiden Gotabaya Rajapaksa beberapa hari sebelumnya untuk memberi amaran terhadap situasi yang sedang dihadapi mereka.

“Jika bekalan tidak dipulihkan dalam beberapa hari, kesan lebih buruk akan dihadapi daripada Covid-19.”

Dalam pada itu, orang ramai turun berdemonstrasi di jalan raya untuk mendesak peletakan jawatan Rajapaksa.

BERITA BERKAIT
POPULAR