
Seorang pekerja perubatan yang memakai peralatan perlindungan diri melakukan ujian swab terhadap penduduk di tapak ujian asid nukleik mudah alih di tengah-tengah wabak penyakit Covid-19 di Beijing, China pada 10 Jun 2022. - Gambar Reuters
Ibu kota China, Beijing kini sedang berdepan lonjakan besar wabak Covid-19 yang dengan penularannya dikaitkan dengan pusat hiburan dan bar, kata jurucakap kerajaan, tatkala Shanghai melakukan ujian besar-besaran untuk menahan peningkatan kes yang terkait dengan salun rambut.
Amaran itu menyusuli kawalan ketat yang baharu di Beijing sejak Khamis, dengan sekurang-kurangnya dua daerah menutup beberapa tempat hiburan selepas kemelut di kawasan kejiranan yang penuh dengan hiburan malam, pusat beli-belah dan kedutaan.
Walaupun kadar jangkitan China rendah mengikut piawaian global, ia mengekalkan dasar sifar Covid, memetik keperluan untuk melindungi warga tua dan sistem perubatan, walaupun negara lain cuba hidup dengan virus itu.
Setakat ini, negara dengan populasi 1.4 bilion itu hanya menyaksikan 5,226 kematian akibat Covid-19, sedangkan penularan virus SARS-CoV-2 dilaporkan bermula di wilayah Wuhan, China.
Pihak berkuasa Beijing berkata bahawa semua 61 kes baharu yang dikesan di bandar itu pada Jumaat sama ada telah melawat Heaven Supermarket Bar di Sanlitun daerah Chaoyang atau mempunyai kaitan dengannya.
Heaven Supermarket Bar ialah tempat yang terkenal dengan pelbagai pilihan minuman keras dan harga yang rendah. Ia mempunyai beberapa cawangan di Beijing dan lebih banyak lagi di bandar-bandar China yang lain.
“Wabak baru-baru ini … bersifat sangat melonjak dan meluas dalam skopnya,” Xu Hejian, jurucakap majlis perbandaran Beijing.
Ibu negara itu mencatatkan 46 kes tempatan baharu setakat jam 3 petang (0700 GMT) pada Sabtu dengan semua pesakit sudah berada dalam pengasingan atau dalam pemerhatian, kata pegawai kesihatan Liu Xiaofeng.
Setakat ini, 115 kes positif dan 6,158 kontak rapat yang dikaitkan dengan Heaven Supermarket Bar telah dilaporkan, menjadikan bandar berpenduduk 22 juta itu kembali cemas.
Beijing hanya melonggarkan sekatan kurang daripada dua minggu lalu yang telah dikenakan untuk memerangi wabak berkenaan yang bermula pada April.
Universal Beijing Resort yang luas – taman tema di pinggir bandar – pada Jumaat membatalkan rancangan untuk dibuka semula. Pihak berkuasa bandar berkata tiga daripada pekerjanya telah melawat Heaven Supermarket Bar.
Banyak kawasan kejiranan di ibu negara telah dikenakan perintah berkurung, dengan penduduk diarah tinggal di rumah.
Di Shanghai, pegawai mengumumkan tiga kes tempatan baharu yang disahkan dan satu kes tidak bergejala dikesan di luar kawasan kuarantin pada Sabtu, kerana hampir semua 25 juta penduduk bandar itu memulakan pusingan baharu ujian Covid-19.
Pihak berkuasa mengarahkan ujian PCR untuk semua penduduk di 15 daripada 16 daerah Shanghai pada hujung minggu ini, dan lima daerah menghalang penduduk daripada meninggalkan rumah semasa tempoh ujian.
Seorang pegawai bandar berkata penduduk perlu melengkapkan sekurang-kurangnya satu ujian PCR seminggu sehingga 31 Julai.
Bandar paling ramai penduduk di China hanya menarik balik penutupan Covid-19 selama dua bulan pada 1 Jun.
Pihak berkuasa Shanghai berkata mereka juga telah menegur dan memecat beberapa pegawai peringkat daerah kerana berlaku kesilapan di sebuah hotel yang digunakan untuk mengkuarantin ketibaan luar negara, yang dinyatakan sebagai salah satu sumber gelombang baharu varian Omicron di Shanghai.
Mereka juga telah memberi amaran atau memecat beberapa eksekutif di firma milik kerajaan yang memiliki salun kecantikan Red Rose, di mana tiga kes ditemui dalam kalangan pekerja minggu ini.
Pekerja salun itu tidak mengikuti garis panduan untuk menjalankan ujian PCR setiap hari, kata mereka.
Sehingga Jumaat lalu, China telah mengesahkan 224,659 kumulatif positif dengan simptom. – Reuters/Bloomberg