
Polis Ukraine dan anggota Pengawal Kebangsaan mengambil bahagian dalam latihan di selatan Ukraine, pada 12 Februari 2022. - Gambar EPA-EFE
Presiden AS Joe Biden memberitahu Presiden Russia Vladimir Putin bahawa Barat akan bertindak balas dengan tegas terhadap sebarang pencerobohan ke atas Ukraine, sambil menambah langkah sedemikian akan menyebabkan Moscow menderita dan diasingkan.
Dalam usaha terbaru untuk mengelak permusuhan, kedua-dua pemimpin itu bercakap melalui telefon kira-kira sejam sehari selepas Washington dan sekutunya memberi amaran bahawa Russia, yang menempatkan lebih 100,000 tentera di sempadan Ukraine, boleh menyerang pada bila-bila masa.
Pegawai kanan pentadbiran Biden berkata perbualan telefon itu dibuat secara profesional tetapi gagal menghasilkan apa-apa, atau sebarang perubahan.
Biden memberitahu Putin bahawa Amerika Syarikat bersedia untuk diplomasi dan “senario lain,” kata White House.
Beliaun berkata adalah tidak jelas sama ada Putin komited terhadap diplomasi walaupun beliau bersetuju untuk terus berhubung dengan Biden.
Perbualan kedua-dua pemimpin dunia itu menyusul langkah beberapa negara termasuk AS, Britain, Portugal dan Belgium yang menggesa rakyat mereka keluar dari Ukraine dengan segera susulan ancaman serangan dari Russia.
Kremlin pula berkata Putin memberitahu Biden bahawa Washington gagal memberi perhatian kepada keprihatinan Russia berhubung peluasan keanggotaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), serta penempatan pasukan tentera di Ukraine.
Sebelum ini, Jabatan Negara AS sudah mengarahkan semua kakitangan kedutaannya meninggalkan Ukraine, tetapi menempatkan sepasukan kecil pegawai diplomatik di bandar Lviv, barat Ukraine, kira-kira 50 batu dari sempadan Poland, untuk mengendalikan kes-kes kecemasan.
Selain itu, Pentagon juga menarik keluar pasukan Pengawal Kebangsaan Florida yang ditempatkan di Ukraine, tetapi kekal memberi sokongan ketenteraan.
Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin berkata anggota pasukan Pengawal Kebangsaan itu ditempatkan di sekitar Eropah setelah keluar dari Ukraine.
Pentagon dalam kenyataan berkata terdapat 160 anggota Pengawal Kebangsaan Florida yang menjalankan misi latihan di Ukraine.
“Mereka berlepas dari Ukraine dan akan ditempatkan semula di tempat lain di Eropah. Setiausaha Pertahanan membuat keputusan ini dengan berhati-hati – mengambil kira keselamatan kakitangan kami – setelah dimaklumkan Jabatan Negara,” kata kenyataan itu.
Pentagon bagaimanapun berkata mereka masih menyokong tentera Ukraine.
“Penempatan semula ini tidak menandakan perubahan dalam keazaman kami untuk menyokong Angkatan Tentera Ukraine, tetapi akan memberikan kelonggaran dalam memastikan sekutu dan menghalang pencerobohan,” kata kenyataan itu. – Agensi