
Mural bertemakan Covid-19 di Jakarta, mengajak orang ramai memakai pelitup muka. - Gambar Antara
Agensi Kesihatan Jakarta mengumumkan bahawa lebih banyak unit kejiranan (RT) dikategorikan sebagai zon merah Covid-19. Sehingga 7 Ogos 2022, zon merah bandar meningkat kepada 28 RT.
Angka itu menunjukkan peningkatan ketara dalam kes positif berbanding pertengahan Julai yang hanya melibatkan tujuh RT.
Berdasarkan laman web bandar corona.jakarta.go.id, kebanyakan zon merah berada di Jakarta Utara dan Jakarta Barat, masing-masing mencecah 10 RT. Sementara itu, Jakarta Selatan melaporkan empat zon merah, dan Jakarta Pusat serta Jakarta Timur (dua zon merah).
Bagaimanapun, bilangan zon merah dianggap kecil walaupun penularan virus SAR-CoV-2 semakin meningkat kerana kota raya itu mempunyai 30,417 RT.
Sehingga semalam, pihak berkuasa Jakarta merekodkan 2,300 kes positif baharu. Jumlah kes aktif, kedua-dua kategori pesakit yang dirawat dan diasingkan di 140 hospital rujukan di seluruh bandar, menurun kepada 424 kes.
Agensi Kesihatan Jakarta menyatakan bahawa kadar positif Covid-19 mencapai 15.3 peratus sepanjang minggu lalu. Angka itu, bagaimanapun, disebabkan oleh bilangan tinggi individu yang diuji menggunakan PCR yang mencecah 107,200, lebih daripada standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk Jakarta iaitu 10,642 orang.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Indonesia tidak merancang menjadikan vaksin Pfizer sebagai dos penggalak kepada individu berusia 16 hingga 17 tahun.
“Kami tidak memikirkan polisi kerana (permohonan) EUA (kebenaran penggunaan kecemasan) sukar dijalankan.
“Bagi mereka yang berumur 18 tahun, ia telah pun dilaksanakan,” Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit kementerian itu, Maxi Rein Rondonuwu.
Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada dasar Badan Kawalan Dadah dan Makanan (BPOM) Kebangsaan yang membenarkan pemberian vaksin Pfizer sebagai dos penggalak untuk remaja berumur 16 hingga 18 tahun setakat 2 Ogos 2022.
BPOM menyatakan bahawa dos penggalak Pfizer boleh diberikan sekurang-kurangnya enam bulan selepas vaksinasi dos kedua kepada remaja yang diberikan vaksin Pfizer untuk vaksinasi dos pertama dan kedua.
Rondonuwu menarik perhatian kepada fakta bahawa keperluan penggalak untuk vaksin Pfizer juga menimbulkan halangan kerana bilangan warganegara berumur 16 hingga 17 yang telah menerima vaksin Pfizer untuk vaksinasi pertama dan kedua, adalah agak kecil. – Agensi