Banyak bukti jangkitan varian Omicron lebih ringan: WHO

Lebih banyak bukti ditemui menunjukkan Omicron hanya menjejaskan saluran pernafasan di bahagian atas, dengan mengakibatkan gejala ringan daripada varian lain sebelum ini, kata pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pihak kami memperoleh banyak kajian menunjukkan bahawa Omicron hanya menjangkiti bahagian atas tubuh manusia, tidak seperti varian lain, yang boleh mengakibatkan radang paru-paru kritikal,” jelas Pengurus Insiden WHO, Abdi Mahamud.

Beliau menyifatkan penemuan terbaharu ini boleh dikategorikan sebagai ‘berita baik’ buat seluruh dunia namun menegaskan kadar kebolehjangkitan Omicron yang tinggi bermakna varian itu akan menjadi dominan dalam beberapa minggu akan datang, sekali gus menimbulkan ancaman besar kepada negara yang jumlah vaksinasinya masih rendah.

Menjawab pertanyaan sama ada vaksin khusus diperlukan untuk mencegah Omicron, Mahamud memaklumkan masih terlalu awal untuk menyimpulkan keperluan itu.

Bagaimanapun beliau menegaskan keputusan tersebut memerlukan penyelarasan global dan tidak sepatutnya diserahkan kepada sektor komersial untuk membuat keputusan.

Satu kajian baru-baru ini, yang masih belum diulas oleh pakar lain menunjukkan bahawa jika dibandingkan dengan varian Delta dan varian asal Covid-19, Omicron lebih cepat memasuki saluran pernafasan atas dan paru-paru, tetapi jauh lebih perlahan untuk menyusup ke tisu paru-paru itu sendiri.

Kajian gabungan oleh penyelidik Amerika Syarikat dan Jepun mendapati bahawa tikus yang dijangkiti Omicron mengalami kerosakan paru-paru yang sedikit, kehilangan berat badan yang lebih sedikit dan berkemungkinan kecil untuk mati, berbanding yang dijangkiti Delta.

Sementara itu, pasukan yang mengkaji varian Omicron di Glasgow percaya varian ini tidak banyak yang dapat menjangkiti sel paru-paru, kerana protein penting – yang biasanya membantu varian Covid-19 sebelum ini untuk memasuki sel paru-paru – kurang dimiliki Omicron. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR