Bangkok perluaskan lagi penutupan akibat Covid-19

Bangkok sunyi selepas kerajaan Thailand mengenakan perintah penutupan susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19. - Gambar AFP

Kerajaan Thailand memperketatkan lagi perintah sekatan Covid-19 yang sedang dilaksanakan sebelum ini susulan peningkatan kes jangkitan dan kematian yang semakin membimbangkan sistem kesihatan di negara itu.

Pegawai bandar raya Bangkok juga telah memperluaskan lagi arahan penutupan membabitkan beberapa perniagaan selama dua minggu atau lebih mulai hari ini sehingga diberitahu kelak.

Antara yang diarah tutup itu termasuk muzium, pawagam, taman hiburan, pusat kecergasan dan kolam renang awam.

Kedai kecantikan dan kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi tetapi mesti mengehadkan jumlah pelanggannya, tetapi taman awam akan terus dibuka sehingga jam 8 malam.

Sejak 28 Jun lalu, pihak berkuasa tidak membenarkan pelanggan makan di dalam restoran, sebaliknya hanya boleh membeli untuk dibawa pulang. Pihak yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan penjara satu tahun dan denda sehingga 100,000 baht (AS$3,040).

Bangkok dan beberapa wilayah yang teruk terjejas dengan penyebaran wabak Covid-19, termasuk tiga wilayah lain, sudah menghalang perhimpunan melebihi daripada lima orang dan menghendaki orang ramai untuk tinggal di rumah.

Pihak berkuasa juga mengenakan perintah berkurung mulai jam 9 malam hingga 4 pagi, selain melarang orang ramai melakukan perjalanan yang tidak penting.

Semalam, pihak berkuasa kesihatan memaklumkan terdapat 11,784 kes jangkitan baharu Covid-19 dan menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak tahun lalu adalah sebanyak 415,170 kes.

Terdapat 81 kes kematian baharu yang dilaporkan semalam, menjadikan keseluruhannya 3,422 kes.

Lebih daripada 90 peratus kes jangkitan dan kematian itu berlaku ketika gelombang virus kedua pada bulan April lalu disebabkan penularan varian Delta.

Pihak berkuasa Thailand juga mengarahkan pesakit kategori ringan melakukan kuarantin kendiri di rumah dan di pusat komuniti, setelah beberapa hospital melaporkan kekurangan bilik isolasi. – Agensi

POPULAR