Bangkok akan mulakan suntikan dos keempat vaksin Covid-19

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan memulakan suntikan vaksin dos keempat kepada golongan berisiko terdedah kepada jangkitan Covid-19, khususnya varian Omicron, susulan kelulusan diberikan Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) negara itu.

Suntikan keempat itu akan dilakukan tiga bulan setelah suntikan dos ketiga, kata Ketua Pengarah DDC Dr Opas Karnkawinpong.

Sebagai contoh, katanya, individu yang menerima suntikan dos pertama dan kedua vaksin Sinovac serta AstraZeneca bagi dos ketiga dan keempat, akan menerima sama ada AstraZeneca atau Pfizer bagi dos keempat.

Mengulas perkara itu, Gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang berkata individu dewasa berumur 60 tahun dan ke atas, penghidap penyakit kronik, kakitangan perubatan serta petugas barisan hadapan akan diberi keutamaan menerima suntikan dos keempat bagi memulihkan semula imuniti mereka.

“BMA akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai suntikan dos keempat itu apabila pelan perlaksanaannya diluluskan nanti,” katanya.

Minggu lalu, Israel mengumumkan pemberian suntikan dos keempat vaksin Covid-19, serta-merta kepada golongan berumur 60 tahun ke atas, pekerja perubatan dan individu yang mempunyai sistem imun lemah, sebagai salah satu usaha untuk melindungi rakyatnya daripada jangkitan Omicron.

Pakar virologi di Universiti Chulalongkorn, Yong Poovorawan membangkitkan kerisauan bahawa jangkitan Omicron bakal menular dengan lebih meluas di seluruh Thailand selepas cuti Tahun Baharu ini.

“Oleh itu, orang ramai perlu sentiasa mematuhi protokol untuk mencegah penularan virus tersebut,” katanya.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Awam Thailand turut mendedahkan beberapa langkah bagi menangani potensi penularan Covid-19 yang disebabkan oleh Omicron pada tahun depan.

Sehingga kini, Thailand sudah melaporkan lebih 200 kes melibatkan varian Omicron di 10 wilayah termasuk di Kalasin, Pattani dan Bangkok.

Hari ini, Thailand merekodkan 2,305 kes baharu dan 32 kematian akibat jangkitan Covid-19, menjadikan angka kes di negara itu mencecah 2,214,712 dan 21,630 korban sejak tahun lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR